JDT Tidak Pernah Menyalahkan Pemain Apabila Tewas Perlawanan

loading...


KUALA LUMPUR: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Ulisses Morais menyifatkan kegagalan anak buahnya menjaringkan gol ke atas Kuala Lumpur yang memperaga corak permainan bertahan sebagai satu situasi yang jarang berlaku pada musim ini.

Kuala Lumpur memperagakan aksi penuh kental untuk mempertahankan kelebihan satu gol apabila perlawanan terpaksa ditangguhkan susulan permukaan padang yang ditakungi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur semalam sekali gus memberikan kemenangan pertama buat tuan rumah yang juga kekalahan pertama buat juara Liga Super itu musim ini.

JDT melakukan 18 percubaan ke arah gawang gol Kuala Lumpur yang menyaksikan Kamarul Effandi Rahim berjaya menyelamatkan lapan percubaan sementara pertahanan, Hisyamuddin Shaari mengeluarkan satu percubaan di atas garisan gol.

"Pasukan besar seperti JDT tidak pernah menyalahkan pemain apabila kami tewas dalam perlawanan seperti ini. Ini adalah bola sepak tetapi jika kami terus menunjukkan aksi sebegitu dan mencipta banyak peluang, jadi sudah pasti kami akan meraih kemenangan berbanding kekalahan.

"Kebiasaanya, kami berjaya menjaringkan dua atau tiga gol apabila mencipta begitu banyak peluang tetapi ia tidak berlaku pada perlawanan kali ini. Itu bukanlah alasan kerana kesilapan kami adalah membiarkan lawan menyempurnakan peluang yang diperolehi," kata Morais.

Sebaik sahaja perlawanan dimulakan, Morais mengeluarkan pertahanan, Adam Nor Azlin dan memasukkan pemain sayap, Safawi Rasid untuk membantu jentera serangan.

"Ia adalah pertukaran secara strategi kerana kami perlu menyerang memandangkan kami sedang ketinggalan. Ini risiko yang perlu kami ambil."

Sementara itu, jurulatih 'The Hawks', Fabi Maciel mengakui pendekatan bertahan menjadi pilihan mereka selepas mengambil kira kekuatan jentera serangan yang dimiliki JDT selain pengajaran atas penguasaan bola dalam dua aksi sebelum ini namun tewas 2-0 di tangan Selangor dan juga Negeri Sembilan.

"Kita menguasai perlawanan dalam dua aksi sebelum ini namun tidak dapat menjaringkan gol. Kami membiarkan JDT mengawal perlawanan tetapi kami masih mencipta lapan peluang.

"Bukan sebab kami tewas sebelum ini dan kemudiannya memenangi aksi hari ini, kami tidak akan mengubah karakter mahupun personaliti kerana kami sedang berada pada landasan yang betul.

"Kami layak meraih tiga mata ini berdasarkan usaha yang ditunjukkan. Pertahanan yang begitu kemas dan saya gembira dengan persembahan pemain."

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.