Bambang akui Persija terperangkap taktik JDT

loading...


JOHOR BAHRU: Penyerang berpengalaman Persija Jakarta, Bambang Pamungkas tidak menjangka Johor Darul Ta'zim (JDT) tampil dengan corak permainan pantas sehingga sukar untuk dibendung dalam aksi di sini, malam tadi.

Dalam aksi sulung Piala AFC bagi Kumpulan H itu, skuad Harimau Selatan membenam kelab dari Indonesia itu 3-0 dalam saingan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Bagaimanapun, Bambang yang juga bekas pemain import Selangor menegaskan betapa usaha sudah dilakukan oleh barisan pemain Persija untuk mengimbangi corak permainan pantas skuad kendalian Ulisses Morais itu.

Katanya, beberapa kesilapan mudah menjadi punca kekalahan pada perlawanan itu.

"Kita sudah bekerja keras dalam perlawanan itu, namun kami agak keletihan selepas baru saja beraksi dalam perlawanan separuh akhir Piala Presiden dan tidak mendapat rehat yang cukup.

"Kami juga tidak menurunkan lima tonggak utama terutama tanpa kelibat Marko Simic kerana fokus utama adalah persiapan aksi final Piala Presiden, Sabtu ini dan kami terima kekalahan pertama pada saingan Piala AFC.

"Sebelum perlawanan ini, jurulatih (Stefano Cugurra) menyaksikan perlawanan membabitkan JDT untuk mengkaji corak permainan pasukan itu. Namun apa yang ditampilkan ketika menentang kami jauh berbeza sehingga kami terperangkap," katanya.

Bambang juga menegaskan semua barisan pemain JDT kerap menguasai permainan dan sukar untuk dia dan rakan sepasukan menyusup masuk di kawasan kotak penalti.

Malah katanya, percubaan untuk melakukan serangan pantas sering tersekat tatkala benteng JDT tampak sukar dilepasi.

Sementara itu, Cugurra optimis barisan pemainnya akan bangkit untuk memburu kemenangan pertama apabila berdepan Tampines Rovers di Stadium Gelora Bung Karno, pada 28 Februari ini.

"Kita tidak boleh tewas lagi dan akan beri persembahan terbaik apabila melayani kunjungan kelab dari Singapura. Pastinya saya akan turunkan kesebelasan terbaik kerana ia penting bagi mengelak daripada kekalahan kedua berturut-turut," kata Cugurra.

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.