'Sibuk panggil 'benda' tu dah kenapa?!'

loading...

Hanya orang-orang tertentu sahaja yang diberi kelebihan mampu melihat 'benda-benda' halus yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar. Jika pernah terlintas di fikiran yang diri anda menginginkan kelebihan seperti itu, baik lupakan saja kerana kalau setakat baca cerita paranormal, mistik bagai pun sudah meremang bulu roma, apatah lagi bila melihat 'benda-benda' itu yang muncul di depan mata sendiri.

Ini adalah kisah dan pengalaman seorang wanita mempunyai rakan yang mampu melihat 'benda-benda' ghaib yang berlaku sepanjang mereka berada di sebuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Kuching, Sarawak, sekitar tahun 2008-2008.

ASSALAMUALAIKUM, ini adalah kisah benar. Alhamdulillah aku tak pernah nampak 'benda-benda' ghaib ini dan aku tak nak pun tengok. Minta-mintalah dijauhkan. Tetapi ini pengalaman kawan aku yang memang diberi peluang untuk melihat 'benda-benda' ini. Aku sebagai kawan karib dia masa itu menjadi tempat dia untuk bercerita. Aku cerita bahagian yang aku ingat saja eh, sebab kejadian-kejadian ini sudah lama. Masa kitorang study di UiTM Sarawak dulu, tahun 2007-2008. Selepas itu dia dapat tukar ke Melaka dan aku tak lagi dapat dengar cerita seram dari dia.


LAJU SEMACAM NAIK KE ATAS TANPA BUNYI TAPAK KAKI

Fuzz ialah kawan karib aku semasa di UiTM. Kitorang jadi rapat masa ada event di UiTM dulu. Dia ni memang kepala masuk air sama macam aku. Tetapi dia ada kelebihan yang ramai orang tak nak kelebihan dia ini. Dia boleh nampak, dengar, malah berkomunikasi dengan makhluk-makhluk alam ghaib. 

Ada satu kejadian itu, dia cerita pada aku yang dia terserempak dengan 'benda' ini semasa dia nak naik tangga. Bilik dia di bawah sekali. Tetapi masa itu dia nak naik pergi ke bilik aku di tingkat dua. Aku pun dah lupa bilik aku di tingkat dua atau satu. 

Tiba-tiba dia terserempak dengan sesuatu. Aku pun dah lupa benda itu 'lelaki' atau 'perempuan'. Benda itu ada beritahu dia, 'jangan lupa suruh kawan-kawan solat'. Kemudian Fuzz terkaku. Dah kenapa 'benda' itu beritahu dia? Sudahlah tak kenal siapa dan paling dia terkejut, 'benda' itu naik ke tingkat atas tanpa bunyi tapak kaki. Laju semacam saja naik ke atas.  Dia speechless dan ceritakan kejadian itu pada aku. 

Fuzz pernah beritahu yang masa mula-mula dia jejak kaki di depan bilik dia, dia dah rasa lain macam. Bila buka pintu, berderu-deru angin keluar seperti ada orang yang berlari di depan kau tetapi kau tak nampak orang itu dan hanya rasa angin sahaja.


GARA-GARA MAIN 'SPIRIT OF COIN' DENGAN DARAH PERIOD

Ada satu kejadian yang berlaku semasa di Kolej Seri Gading dulu. Kolej ini ada lapan blok perempuan. Masa itu kecoh kolej ini sebab ada student yang kena rasuk. Kitorang masa itu diarahkan untuk berkumpul di depan Blok 2A dan 2B kalau tak silap. Sebab mungkin ustaz dan ustazah nak asingkan mana yang elok dan mana yang kena rasuk, tak nak biarkan yang lemah semangat duduk dalam blok.

Aku dengan Fuzz tak ada kena apa-apa pada masa itu. Alhamdulillah, esoknya kitorang dengar bermacam-macam versi cerita yang keluar. Rupa-rupanya ada student yang main spirit of coin dengan darah period kalau tak silap. Kemudian bila spirit itu keluar, diorang tak hantar 'dia' balik. Apa lagi, mengamuklah benda itu.

Sibuk panggil 'benda' tu dah kenapa? Ada juga budak perempuan yang perasan semasa diorang berhimpun di depan blok, ternampak ada satu lembaga budak memakai gaun merah berdiri di bumbung blok. 

Fuzz ada cerita pada aku bahawa ada sesuatu yang berlaku pada dia satu malam ini. Dia tengah sidai baju, ampaian baju dalam blok-blok ini ada di setiap tingkat. Udara dan matahari pun terhad. Jadi sesiapa yang jemur baju di tengah-tengah itu silap haribulan boleh bau kepam sebab terhimpit dengan baju-baju lain. 

Masa dia nak jemur baju itu, tiba-tiba dia terdengar suara budak menangis. Fuzz tergamamlah seketika. Terus terbantut dia nak sidai baju. Kemudian dia macam ternampak kaki budak dan gaun merah di sebalik baju-baju kepam yang tersidai. 

"Wuuuuuuuuu...." budak itu menangis lagi. 

Memang tak kuat tetapi boleh didengar dengan jelas di telinga Fuzz pada masa itu. Entah dapat kekuatan apa si Fuzz pada masa itu. Dia boleh pula cuba berkomunikasi dengan budak itu. 

"Err... adik, kenapa menangis ni?" 

"Wuuu... kakak jahat" balasnya. 

Fuzz pun tanya lagi kenapa dia menangis dan budak itu asyik balas "Kakak jahat, kakak jahat, kakak jahat." 

Kemudian hilang. Bila Fuzz ceritakan pada aku tentang kejadian ini, kitorang buat kesimpulan sendiri yang budak ini datang dari spirit of the coin. Kau tengok! Dah panggil dia datang tapi tak reti hantar balik! Budak lagi kot? Mungkin dia tak ingat jalan balik. Aku menyirap betul masa dengar diorang main benda itu. Dah tak ada kerja lain ke apa? 

Cerita ini tidak habis di situ. Malam itu, Fuzz tidur di katilnya. Dalam bilik ada dua katil double decker. Dua katil bawah dihuni oleh dua kakak senior part 5. Fuzz masa ini part 1 lagi, so dia dapat katil atas belah kiri dan sebelah sana katil atas kakak senior part 5. Tetapi kakak part 3 ini tak tidur di katil dia sebab katil atas panas. So dia bawa tilam bentang di bawah dan tidur di bawah. Bilik diorang ini selalu buka lampu masa nak tidur. 

Fuzz terjaga tengah malam, mula-mula dia tidur menghadap dinding. Kemudian tukar posisi menghadap katil sebelah sana. Dia perasan ada budak baju merah duduk di atas katil itu sambil kaki terjulur ke bawah dan memandang tepat ke arahnya yang sedang tidur. Masa itu Fuzz tak buat apa lagi dah, pusing balik menghadap ke dinding dan tidur sampai pagi. 

Selepas dari itu, Fuzz dah tak cerita tentang budak gaun merah itu lagi. Dah balik agaknya. Jangan tanya aku dia balik naik apa okey.


'LELAKI' TINGGI BERBAJU LUMPUR

Cerita lain pula, cerita ini berlaku di kolej yang sama. Masa ini Fuzz sedang mencuci baju di sebelah toilet. Sinki cuci baju ini berhadapan dengan ampaian. Semasa dia sedang mencuci itu, dia terpandang ada seorang lelaki di ampaian. Lelaki? Di kolej perempuan? Buat apa?

Fuzz tahu yang dia bukan manusia sebab ketinggian lelaki itu mencecah silling. Bajunya berlumpur dan ada jambang. Terus Fuzz berlari masuk ke bilik dia. Kakak senior yang sebilik dengannya datang tegur Fuzz sebab masa itu dia dah menggigil-gigil ketakutan.

Pintu bilik ketika itu dah tertutup, tetapi bila Fuzz toleh saja ke arah pintu, lelaki tinggi itu ada di dalam bilik mereka! Malam itu, kakak-kakak usrah datang ke bilik Fuzz dan kemudian, Fuzz demam.


MESTI 'COUPLE' TU TENGA BERGADUH KAN?

Kisah yang seterusnya, biasalah kalau duduk di universiti ini, mesti ada keluar pergi bandar atau meronda-ronda kan? Kitorang masa itu belum ada lagi perkhidmatan Grab atau Uber lagi. Jadi, alternatif kitorang ialah sewa kereta atau guna van sapu. Tetapi kitorang lebih suka sewa kereta saja, tong-tong duit.

Kami keluar berempat, aku, Fuzz dan dua orang kawan lelaki pergi meronda di Kuching dan balik pada waktu malam. Fuzz dan aku ada lesen masa itu, tetapi Fuzz banyak kali menjadi pemandu kitorang.

Masa itu aku duduk belakang dengan Jo, Zul duduk di sebelah Fuzz. Di persimpangan lampu isyarat, Fuzz pandang lama pada kereta sebelah. Aku, Zul dan Jo diam tak bercakap. Masing-masing sedang melayan perasaan. Tiba-tiba Fuzz panggil.

"Weh korang, tengok kat kereta sebelah tu. Mesti couple tu tengah bergaduh kan?"

Kitorang serentak pandang ke kanan nak tengok couple yang Fuzz maksudkan. Masing-masing dah buat muka pelik dan cuak.

"Kau cakap apa ni Fuzz? Dia nak bergaduh dengan siapa?" soal Zul dengan nada suara yang takut-takut.

Mamat ini sudahlah penakut, tengok wayang cerita hantu pun sanggup dia menyorok dalam baju dari mula sampai habis cerita. Pergi baliklah! Nak tengok, tapi penakut.

"Betullah weh, kau tengok awek dia kat sebelah tu, muka macam tak puas hati je," kata Fuzz lagi.

Aku, Jo dengan Zul masing-masing dah cuak gila. Aku pun apa lagi, boleh sound si Fuzz ni.

"Kau ni dah kenapa? Mamat tu drive seorang-seorang je la. Kau jangan macam-macam Fuzz."

Zupp!! Terdiam Fuzz selepas itu. Kitorang pun senyap saja sampai balik universiti. Keesokan harinya dia cerita pada aku yang dia ternampak ada tiga kepala di belakang. Aku pun terkejut gila. Di belakang, aku dengan Jo saja. Dia nampak seorang lagi duduk di tengah-tengah. Patutlah dia cakap kereta masa itu berat semacam. Aku upon redha sajalah dapat bestfriend macam dia ini.


DIEKORI KAK PONTI MUKA BURUK

Aku dengan Fuzz suka buat hal sendiri. Kadang-kadang kitorang suka keluar sewa kereta jalan-jalan di Kuching, kemudian balik tengah malam. Kereta tak boleh bawa masuk universiti pada waktu malam. Jadi selepas hantar kereta pada pemiliknya, kitorang berlari-lari dari pintu masuk sambil menjerit sebab baru teringat keesokan harinya ada exam. Haha!

Ada satu kejadian ini semasa kitorang balik malam, aku dengan dia je dalam kereta. Fuzz aku tengok dia memandu seperti biasa. Tetapi keesokannya dia cerita pada aku apa yang dia nampak malam itu. Dia jenis kalau ternampak sesuatu, dia takkan cerita pada orang lain on the spot. Dia akan duduk seorang-seorang melayan perasaan. Sampai kakak-kakak senior dalam bilik dia dah tahu kalau dia seorang-seorang tak nak bercakap, mandi lama gila, diorang dah tahu mesti dia nampak sesuatu.

Dia cerita, semasa di persimpangan lampu isyarat, dia ternampak bermacam-macam jenis lembaga. Ada yang tua, ada yang berdarah-darah, ada yang hodoh. Ketika dalam perjalanan masuk ke kawasan UiTM itu, kiri dan kanan banyak gerai-gerai. Tempat itu agak gelap, dia ternampak ada kak ponti dengan baju lusuh dia tak usah cakaplah, buruk ya amat, tengah berdiri di tiang.

Fuzz pun buat bodoh saja. Bila dia memandu lagi, dia ternampak lagi kak pon itu. Bila depan lagi, dia nampak lagi. Nak dekat sampai pintu UiTM, benda itu hilang.


HARI PERTAMA DAH RASA TAK SEDAP HATI

Masa part 2, kitorang dan rakan sekelas serta senior-senior ada camping di dalam kawasan UiTM. Dua jam perjalanan dari kolej. Masing-masing rasa teruja ingat dapat keluar dari universiti tetapi tak pun. Di kawasan hutan belakang UiTM saja pun. Hek eleh. Sekarang ini aku tak tahulah bahagian belakang itu dah jadi apa. Dulu di situ dengar cerita kawasan budak kos ladang punya tempat.

Malam kedua kitorang di camp itu, kitorang diarahkan bina khemah sendiri menggunakan apa yang ada di kawasan sekeliling. Tetapi kitorang diberikan kanvas untuk dijadikan sebagai bumbung khemah. Aku dengan Fuz masa itu berada dalam pasukan berlainan.

Masa kami semua tengah sibuk mencari kayu untuk dibuat khemah, aku dengar bunyi bising dari group sebelah sana. Rupa-rupanya Fuzz pengsan. Teammate dia cerita dia pengsan sebab ada kayu besar jatuh di belakang dia. Kelam kabut kitorang masa itu sebab tak ada senior-senior yang jaga kitorang. Team leader Fuzz ini berlari jauh pergi main camp nak minta bantuan. Malam itu juga ambulans sampai ke kawasan camp dan bawa Fuzz pergi ke hospital. 

Malam itu juga hujan turun dengan lebat, sampai menggigil-gigil kitorang dalam khemah yang kecil dan tiada dinding.

Dua hari selepas itu, aku jumpa Fuzz di bilik dia. Nak suruh dia ceritakan apa yang berlaku sebenarnya pada hari kejadian itu. Dia kata pada hari pertama camp itu dia dah rasa lain macam. Masa program burung hantu, dia kena stay di area lapang. Kemudian dia ternampak ada benda putih terbang. Dia dah tak sedap hati.

Aku ingat-ingat lupa yang dulu dia pernah cakap yang dia ini seperti ada 'penjaga'. Mungkin 'penjaga' dia itu bergaduh dengan 'benda-benda' dalam hutan itu agaknya sampai dia menjadi mangsa terkena kayu malam kejadian.


KEPALA KELUAR DARI PINTU YANG DITUTUP

Masa part 2 kami pindah ke Kolej Seri Serapi. Kolej ini agak jauh sikit dari Seri Gading dan kolej ini agak lama berbanding Seri Gading yang masa itu agak baru. Aku pindah kolej ini pun sebab aku ikut Fuzz. Dia terpaksa ditukarkan ke Serapi sebab sem lepas dia tak cukup cop aktiviti. Aku sanggup tukar demi nak duduk dekat dengan kawan karib aku. Setia kan saya? Hehe!

Kami satu tingkat, bilik sebelah menyebelah. Fuzz suka rakam video dengan handphone Sony Ericsson dia dulu. Ada satu hari itu dia saja-saja rakam video di tingkat kitorang. Bila dah rakam, dia simpan. Keesokan hari dia kecoh dan tunjukkan sesuatu yang dia rakam semalam. Aku pun tengoklah apa bendanya.

"Cuba kau perhatikan di bilik depan itu, pintu depan dia tutup kan?" soalnya dan aku pun angguklah.

"Kau tengok betul-betul, ada macam kepala yang keluar dari pintu macam tengah main cak-cak," katanya.

Bulat mata aku bila tengok. Ya, memang ada sesuatu di depan pintu itu. Tak mungkin orang sebab pintu itu tutup. Kalau orang pun, mesti Fuzz nampak badan dia, tetapi ini macam kepala saja. Meremang bulu roma aku masa taip ini. Sebab video itu kitorang masih simpan lagi.

TIBA-TIBA POCONG MUNCUL DI DEPAN

Cerita ini berlaku di Serapi juga. Ada satu petang itu, Fuzz bangun tidur dan bersiap-siap nak pergi ke dewan makan. Dia pun tak ingat masa ini aku berada di mana tetapi dia keluar seorang diri sebab kalau tak kitorang selalu je berkepit pergi ke mana-mana. Lagi 20 minit nak azan maghrib, dia dalam perjalanan ke dewan makan. Sedang dia berjalan, tiba-tiba entah dari mana pocong muncul melompat-lompat depan Fuzz. Tergamam Fuzz di situ juga. Mana tidaknya, tiba-tiba datang menyergah begitu saja. Nasib baik dia tak terkucil di situ.

Kebetulan ada sekumpulan budak lelaki baru balik dari bermain bola lalu di situ juga. Diorang nampak pocong itu terus menjerit "POCONG!!!" dan diorang kejar pocong itu. Fuzz pusing terus balik kolej, hilang selera nak pergi makan.


Ini saja kenangan yang aku ingat sepanjang pengalaman aku berkawan dengan dia. Mungkin ada lagi, tetapi aku pelupa orangnya. Aku berkawan dengan dia tak lama, hanya sempat dua sem saja. Selepas itu dia pindah. Kadang-kadang aku mesej dia bertanya khabar dan tanya hal-hal mistik yang dia alami di sana. Dia ada cerita tetapi feel seram itu tidak sama semasa kitorang study bersama-sama di Sarawak dulu.

Sekarang dia sudahpun berkeluarga dan menjalani kehidupan dengan keluarga dia. Sementara itu aku masih laig bujang. Aku tak tahu sama ada dia maish dapat melihat 'benda-benda' mistik itu atau tidak.

Kepada Fuzz, kau bagi aku green light kan nak tulis cerita pasal kau. Sekarang aku dah cerita. Tetapi kalau kau nak tambah cerita, silakan. Maaf kalau ada tersilap info dalam cerita ini sebab cerita ini sudah lama. Sekian terima kasih.

Sumber: Fiksyen Syasya

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.