'Kak, bolehkah jangan rakam dan sebarkan aib suami saya?' - Kesal tetamu tidak beradab ketika melawat pesakit dimensia

loading...

Beberapa hari lepas Abe Mie berjaya memegang sudu dan cawan dengan tangan kanannya. Berjaya menyuap makanan dengan tangan kanan. 5 bulan lalu beliau terlantar di katil, bagaikan jasad bernyawa. 

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Terima kasih Allah swt. Kejayaan kecil yang amat bermakna buat kami sekeluarga khasnya. Tidak tergambar betapa gembiranya. Anak-anak juga sangat teruja untuk melihat kejayaan kecil seterusnya. 

Itulah juga perasaan para ‘caregiver’ serta keluarga lain yang menjaga pesakit siang dan malam. Kejayaan kecil inilah pemangkin semangat kami untuk terus istiqomah dan terus melangkah serta bertahan.

Ketika kami para ‘caregiver’ berjuang mengurus dan menangani keadaan serta kerenah pesakit di rumah tidak dinafikan kadang-kadang ada juga cabaran yang di luar kawalan para ‘caregiver’ menjengah. Di antaranya ialah kerenah tetamu yang kurang empati atau langsung tiada empati.

Kegembiraan saya dan anak-anak melihat pencapaian suami di pagi yang hening beberapa hari lepas bertahan beberapa jam sahaja apabila kami diterjah oleh beberapa orang tetamu yang kerenah mereka membuatkan saya hilang kata-kata. 


Suami saya yang mempunyai dimensia dan sedang tenang-tenang makan ditemani saya tiba-tiba mengamuk akibat dalam sekelip mata suasana tenang bertukar kalut dengan suara yang kuat, diasak berbagai soalan. Mereka bercakap tentang beliau di hadapan beliau seolah-olah beliau tidak wujud. Menambahkan kronik lagi kepada keadaan, tetamu tersebut membaca Surah Yassin pula secara kuat di hadapan suami saya ketika suami mengamuk dengan mencampakkan makanan. 

Mereka andaikan suami saya dirasuk hantu saya kira. Saya juga diberitahu oleh mereka ada seorang saudara mereka ada penyakit sebegini juga dan kebiasaannya orang-orang tua panggil ‘gila’, telah meninggal. Allahurobbi! Tetamu apakah ini ya Tuhan.

Sedang suami saya mengamuk dan cuba tanggalkan pakaiannya, anak perempuan saya memberitahu saya, 

“Ibu, makcik tu dok rakam abah dengan handphone. Tolong ibu, tolong suruh dia stop. Kesian abah.” 

Allahu Allah! Tetamu apakah ini? Benar-benar Allah swt mahu menguji saya dan anak-anak. Semenjak suami saya sakit on dan off dari tahun 2010, inilah tetamu paling menduga emosi saya. 

Sepanjang dua minggu di kampung baru-baru ini hampir setiap hari rakan-rakan sekerja saya dan suami menziarah suami di rumah mak saya di Kulim juga tidak sebegini. Ya Tuhan! Saya tidak mampu mengawal perasaan kecewa saya lagi. Secara baik saya katakan, 

"Kak, bolehkah jangan rakam suami saya. Jangan sebarkan aib suami saya. Kak pulang dahulu ya. Suami saya perlu bertenang.” 

Laju sahaja keluar dari bibir saya dan dengan sedaya upaya saya cuba mengekang air mata dari jatuh. Saya tiada pilihan, itulah yang terbaik untuk suami saya sebelum keadaan menjadi semakin buruk.

Pada sebelah malamnya saya berkongsi di dalam group ‘caregiver’ dan pesakit strok yang dikelola oleh Uda Raudzah Arippin tentang apa yang berlaku. Rata-ratanya mereka juga berkongsi dan pernah mengalami pengalaman yang sama seperti saya.

Mungkin pada sesetengah dari kita merasakan melawat mereka yang mempunyai dimensia adalah tidak bermakna, sekadar lawatan menunjukkan body language kerana ingatan pesakit dimensia yang bermasalah. 

Walaubagaimanapun menurut satu kajian di United Kingdom ke atas 300 orang pesakit dimensia menunjukkan 64% dari mereka berasa kesunyian dan tersisih dari keluarga. Jadinya adalah amat penting untuk kaum keluarga dan rakan-rakan untuk terus berhubung dengan mereka untuk kebaikan kesihatan mental dan emosi mereka. 

Melawat mereka dengan menjaga adab dan batas kesusilaan manusia serta penuh empati adalah salah satu cara yang efektif untuk kesihatan mental pesakit. Di sini saya kongsikan beberapa point sebagai panduan buat kita semua ketika menziarah pesakit yang mempunyai ‘dimensia’.

Adab Menziarah Pesakit (Dimensia)
  1. Sapa mereka dari hadapan dan bukan dari belakang. Bercakaplah dengan suara yang lembut dan tidak mendesak.
  2. Untuk memulakan perbualan, kenalkan diri anda dan maintain eye contact. 
  3. Walaupun mereka tidak mengingati siapa anda, buat seperti biasa dan sentiasa senyum untuk wujudkan suasana selesa.
  4. Sabar dan jadilah pendengar yang baik ketika berbual.
  5. Hadkan jumlah tetamu dalam satu-satu masa supaya tidak terlalu ramai. Jika tidak dapat dielakkan, bergilir-gilir berbual dengan pesakit untuk mengelakkan pesakit kurang selesa dan merasakan fokus tiba-tiba kepadanya.
  6. Beritahu penjaga/caregiver kepada pesakit terlebih dahulu tentang rancangan anda untuk melawat supaya mereka dapat beritahu anda waktu yang sesuai. Caregiver perlu siapkan pesakit supaya pesakit dalam keadaan bersedia dan selesa eg: mandi, tukar lampin pakai buang, makan dan sebagainya.
  7. Bersedia untuk mendengar perbualan dan perkataan yang kurang menyenangkan dari pesakit. Anda perlu faham bahawa mereka tidak bermaksud sedemikian kerana ingatan mereka tidak teratur.
  8. Elakkan membuat promosi produk-produk kesihatan, alternatif dan urutan kepada caregiver. Mereka lebih mengetahui keadaan pesakit dari anda dan sentiasa berhubung rapat dengan doktor pakar. 
  9. Jangan sekali-kali merakam video atau mengambil gambar pesakit tanpa kebenaran caregiver. Hormati privasi mereka walaupun anda adalah keluarga terdekat mereka. Mengambil gambar/video pesakit di dalam keadaan mereka tidak berupaya dan kemudiannya menyebarkan ke media sosial adalah amat tidak beretika dan tidak menghormati emosi keluarga pesakit.
  10. Ingat kembali apa niat dan tujuan kita menziarah pesakit.

Didoakan ada manfaatnya. Jika anda adalah penjaga pesakit yang mempunyai dimensia dan sudi berkongsi pengalaman anda, silakan di ruang komen ya. Semoga para caregiver diberi ketabahan dan kemudahan oleh Allah swt dalam menjalankan amanah yang tidak mudah ini.

Nota: 

Dimensia adalah istilah yang digunakan untuk menjelaskan kemerosotan fungsional yang seringkali disebabkan oleh kelainan yang terjadi pada otak. Dimensia adalah kumpulan penyakit dengan gejala-gejala yang mana mengakibatkan perubahan pada pesakit dalam cara berpikir dan berinteraksi dengan orang lain. 

Kebiasaannya dimensia ini akan memberi impak kepada memori jangka pendek, fikiran, kemampuan bertutur dan kemampuan motorik. Ianya akan merubah peribadi pesakit. Pesakit dimensia akan kehilangan kemampuan serta kemahiran tertentu juga pengetahuannya yang telah ada sebelumnya.

Empathy is seeing with the eyes of another, listening with the ears of another and feeling with the heart of another.

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.