'Berhenti viralkan, disebabkan viral itu anak saya malu nak berdepan dengan masyarakat' - Ibu Natasya

loading...

Susulan viral kisah seorang murid perempuan memakai kasut buruk dan lusuh, ibunya, Mazawati Ismail, 42, meminta orang ramai berhenti dari terus menyebarkan kisah anaknya itu, Nadia Natasya Ibrahim, 12, lapor Harian Metro

"Saya minta kisah viral itu dihentikan memandangkan kami sudah mendapat pelbagai bantuan termasuk bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan sejak tiga tahun lalu dan anak juga mendapat RM1,800 sebulan.

"Saya malu selepas kisah anak saya memakai kasut koyak itu viral kerana bukan tiada wang, tetapi anak tidak mahu ke kedai untuk membeli keperluan itu," katanya. 

Menurut Mazawati, Natasya yang merupakan anak keenam dari lapan beradik itu dalam kategori orang kurang upaya masalah pembelajaran dan seorang pemalu, kini enggan hadir ke sekolah. 

"Disebabkan viral itu, dia malu nak berdepan dengan masyarakat. Saya tidak tahu gambar yang dirakam individu itu viral di laman Facebook. 

"Kami sekeluarga minta gambar itu tidak terus diviralkan termasuk kasut koyak yang dipakai anak yang dirakam di Sekolah Kebangsaan Pantai Senok," katanya yang juga mendedahkan hanya mengetahuai gambar anaknya viral di media sosial pada jam enam petang semalam selepas dimaklumkan guru anaknya. 

Mazawati menjelaskan, segala keperluan persekolahan anak-anaknya sudah dibeli dan hanya tidak sempat membeli kasut ekoran sifat anaknya yang pemalu menyebabkan dia enggan ke kedai kasut. Manakala keperluan anak ketujuhnya, Che Akmal Arini, 8, sudah dibeli termasuk kasut. 

"Saya berharap orang ramai tidak salah faham dengan gambar viral itu dan minta hentikan segera," katanya.

Terdahulu seorang individu memuat naik gambar kasut Natasya di Twitter yang kemudian tersebar meluas menyebabkan ramai yang tampil meluah rasa simpati dan ingin menghulur sumbangan bagi membantu kanak-kanak itu. 

BERITA BERKAITAN: 

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.