'Tiada pilih kasih' - Penguat Kuasa PPj apit kereta peronda PDRM

loading...

Baru-baru ini viral di media sosial gambar kereta peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikenakan tindakan apitan di atas kesalahan meletak kenderaan di bahu jalan, mengundang pelbagai reaksi netizen. 

Lapor Harian Metro, anggota penguatkuasa Perbadanan Putrajaya (PPj) mengambil tindakan itu mengikut prosedur biasa bagi memastikan tiada unsur pilih kasih dalam aspek penguatkuasaan, kerana kenderaan peronda PDRM itu diletakkan di bahu jalan di Jalan P2p berhampiran Menara Usahawan, Presint 3, Putrajaya. 

Gambar kenderaan itu kemudian dirakam orang awam dan dimuat naik dan viral meluas di media sosial.

Pengarah Bahagian PPJ, Muhamad Irwan Abdullah berkata, tindakan itu dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang Seksyen 48, Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu kesalahan menyebabkan halangan lalu lintas. 

"Ia juga dibuat bagi memastikan tiada unsur pilih kasih dalam melaksanakan penguatkuasaan," katanya.

Menurut beliau, semasa anggota penguat kuasa PPj menjalankan rondaan rutin di sekitar Putrajaya, mereka mendapati sebuah kereta peronda PDRM diletakkan di kawasan larangan. 

"Pasukan penguat kuasa PPj cuba menghubungi pemandu berkenaan di sekitar lokasi, namun gagal dan kita terpaksa mengambil tindakan apitan ke atas kenderaan terbabit," katanya.



Difahamkan, tiga anggota polis berpakaian seragam trafik yang muncul tidak lama kemudian terkejut apabila mendapati tayar kenderaan mereka dikunci. Kenderaan itu 'dilepaskan' selepas membayar denda.

Jelas Muhamad Irwan, perlaksanaan apitan itu adalah sebahagian usaha mendidik dan mencegah orang ramai dari terus melakukan kesalahan lalu lintas selain menyebabkan kepincangan kepada kesejahteraan bandar serta orang awam. 

"Penguatkuasaan zon apitan dan tundaan ini sudah dilaksanakan oleh PPj sejak 1 April lalu dan kita turut menyediakan Panduan Zon Apitan, Tunda dan Kawasan Letak Kereta di Putrajaya yang boleh dimuat turun dari laman web rasmi www.ppj.gov.my," katanya. 

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.