'Takpelah ibu, biarlah kakak mati' - Remaja hidap penyakit buah pinggang kronik sejak berusia dua bulan

loading...

"Takpelah ibu, biarlah kakak mati," demikian kata Farah Natasya Hira Mohd Nizam, 13, membuatkan ibu dan ayahnya sayu. 

Anak kepada pasangan Nor Farizan Mokhtar, 40, dan Mohd Nizam Razali, 43, menghidap penyakit buah pinggang kronik ketika berusia dua bulan yang menyebabkan seluruh anggota badannya mula membengkok sejak dua tahun lalu. 

Farah Natasya dilahirkan normal sebelum diserang sawan ketika berusia dua bulan dan pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat cyst (Polycstic kidney disease) pada buah pinggangnya yang menyebabkan penyakit itu terjadi.

Menurut Nor Farizan, meskipun keadaannya begitu, anak ketiga dari lima beradik itu kuat dan tabah melalui pelbagai proses rawatan. Namun sejak kebelakangan ini, dia sering mengadu mengalami sesak nafas. 

"Jika dulu kadang-kadang saya terlalu sedih dan tidak kuat menghadapi ujian ini, dialah yang tenangkan saya dengan kata-kata yang dia akan selamat. 

"Tetapi sekarang dia dah tak seperti dulu. Baru-baru ini dia beritahu saya 'takpelah ibu, biarlah kakak mati' sebab sudah tidak tahan lagi nak melalui proses rawatan," katanya.

"Sebelum ini, dia ke sekolah seperti kanak-kanak lain dan kini hanya meneruskan pembelajaran di Sekolah Dalam Hospital di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).

“Dia terpaksa berulang-alik ke HTJ untuk menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu. Lebih menyeksakan, hampir seluruh badannya sudah ditebuk untuk memasukkan tiub bagi rawatan itu.

“Selepas ini, doktor perlu mencari bahagian sesuai yang masih boleh ditebuk dan kami hanya berserah kepada Allah," katanya. 

Apa yang lebih membuatkan hati pasangan ini sedih, doktor memaklumkan anak perempuan tunggal mereka itu tiada lagi harapan. Namun Nor Farizan reda dengan apa jua ketentuan dan menyerahkan segalanya kepada Allah, selepas 13 tahun berusaha mendapatkan rawatan terbaik buat anaknya itu. 

Difahamkan, mereka juga telah membelanjakan ribuan ringgit sehingga terpaksa membuat pinjaman bank bagi menampung kos rawatan, sekali gus menyediakan bilik rawatan khas di rumah mereka di Taman Tuanku Ja'afar, Senawang. 


Mohd Nizam berkata, dia terpaksa membelanjakan kira-kira RM2,000 setiap bulan untuk kos dialisis dan membeli susu khas untuk anaknya itu. Namun, pendapatannya sebagai pembantu hospital dan isterinya pembantu di prasekolah tidak mencukupi kerana mereka perlu menanggung tiga lagi anak yang masih bersekolah. 

"Dia perlu buat dialisis tiga kali seminggu di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dan sekarang terpaksa jalani kehidupan sepenuhnya di atas kerusi roda.

"Tidak pernah terlintas di fikiran saya nak hebahkan derita ditanggung. Tapi saya perlukan bantuan untuk menampung kos perubatan anak, atau sekurangnya kos bantuan beli susu khas dianggarkan RM400 sebulan. Setidaknya ia dapat membantu meringankan beban kami,” katanya yang mendapat bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagi mereka yang sudi membantu atau menghulurkan sumbangan, boleh disalurkan ke akaun bank Mohd Nizam Razali di 0510-0410- 0005-581 (BSN) atau 1550- 1401-4639 (Maybank).

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.