'Sejak mak awak tinggal di sini, menyusahkan! Awak pilih saya atau dia??' - Suami bengang isteri bawa ibunya yang uzur tinggal bersama

loading...

Benar syurga isteri di bawah tapak kaki seorang suami, manakala syurga si suami pula di bawah tapak kaki ibunya. Namun dalam keadaan yang tertentu, tiada salahnya jika suami turut membantu ibu kepada isterinya yang juga sama tarafnya dengan ibu kandung sendiri. 

Dalam kes pengadu ini, si suami merasakan kehadiran ibu mertuanya yang sudah uzur dan sakit di rumahnya adalah bebanan dan menyusahkan. Lalu si suami bertengkar dan memaksa isterinya sama ada mahu memilih dia atau ibunya. 

ADMIN, tolong siarkan cerita saya. Saya seorang isteri, ada anak seorang. Ayah baru meninggal dunia setahun lalu. Mak tinggal seorang sebab saya anak tunggal. 

Baru-baru ini mak tak sihat. Mak dah berusia 69 tahun, jadi sayalah yang selalu menjaga mak. Sekarang dia tak boleh bangun, sakit teruk. 

Rumah mak jauh di Kedah, saya pula menetap di Kuala Lumpur. Saya ajak mak duduk dengan saya sekali sebab tiada sesiapa yang menjaganya. Saya juga memaklumkan yang saya akan upah pembantu rumah untuk menjaganya. Mak dengan rela hati mengikut kehendak saya.

Baru sebulan saya menjaga mak, suami dah mula marah-marah dan kata mak saya menyusahkan.

Tempat kerja saya dekat saja dengan rumah. Jadi saya boleh balik sekejap untuk tengok keadaan mak.

Saya bekerja dan pendapatan saya sebulan dalam RM4,000+. Pampers dan segala ubat-ubatan serta susu untuk mak, saya yang tanggung. Tanpa sesen pun ambil duit suami. 

Tetapi suami marah-marah di depan mak saya. Kami bergaduh teruk dan dia suruh saya memilih sama ada mak atau dia. Kalau saya memilih dia, mak akan dihantar ke rumah orang-orang tua. Saya tak sanggup. Lagipun mak hanya ada saya seorang saja. 

Saya terfikir untuk meninggalkan suami sebab mak yang menjaga saya sejak dari kecil sehinggalah saya berjaya. Senang-senang pula suami menyuruh saya meninggalkan mak. 

Malam tadi mak menangis tanpa saya tahu kenapa. Tapi terungkap di bibirnya, "Maafkan mak". 

Sungguh saya tersentap. Apa yang saya perlu buat? Derhakakah saya? Suami pula langsung tidak mahu memujuk saya. Kenapa suami kejam sangat? Sedangkan dia masih ada ibu bapa. 

Saya beritahu suami bahawa adalah tanggungjawab saya menjaga mak. Kemudian suami jawab,

"Kalau mak tanggungjawab awak, kenapa awak kahwin dengan saya??"

Hancur luluh hati saya. Habis itu, semua perempuan dalam dunia ini bila berkahwin memang kena tinggalkan mak ke? Sedangkan saya selalu juga bantu ibu bapa dia dan ini pula yang dia balas pada saya? 

Jujur sebelum ini saya bahagia, tiada masalah apa-apa. Namun ini ujian berat buat saya. Tolong kawan-kawan, beri cadangan apa yang perlu saya buat. 

Sumber: Kisah Rumah Tangga

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.