Wanita trauma peragut pecahkan tingkap dan ragut handbag

loading...

Perjalanan pulang ke rumah disangka aman, rupanya ada yang sudah menyasarkan wanita itu sebagai mangsa seterusnya di siang hari. 

Dalam kejadian jam 6 petang semalam di Lobak, Seremban, mangsa, Siti Syahirah Samsuri tidak menyangka kejadian yang dilihatnya di Facebook selama ini berlaku pada dirinya sendiri. 

"Dalam jam enam petang, berhenti di persimpangan lampu isyarat. Ketika itu dalam perjalanan pulang dari kerja. Terdengar bunyi ekzos motosikal berkuasa tinggi yang kuat sangat dari arah belakang. 

"Tak sempat nak buat apa-apa, dua lelaki memakai helmet visor gelap, berjaket hitam, bersarung tangan gelap, pemboncengnya memecahkan tingkap belakang kereta penumpang belakang dan mengambil beg tangan saya.

"Segala barang berharga dalam beg memang habis kecuali telefon bimbit yang saya letakkan di sebelah pemandu dan beg laptop selamat sebab dua peragut itu tidak sempat nak ambil, katanya menceritakan semula kejadian itu. 

Ketika kejadian berlaku, kereta mangsa berada di tengah di mana di depan dan belakangnya ada kereta. Mangsa tidak dapat berbuat apa-apa. 

"Saya cuba melawan tetapi tak dapat buat apa-apa sebab lelaki itu mengacukan sesuatu. Saya tak perasan sebab dalam keadaan panik dan takut sangat-sangat," katanya. 

Selepas kejadian itu, mangsa terus menghubungi bapanya dan disuruh bawa kereta itu pulang ke rumah. 

"Saya dah menggigil. Pandu kereta pun asyik masuk lorong sebelah sebab tak boleh fokus, panik dan ketakutan," katanya. 

Sampai di rumah, mangsa kemudian dibawa oleh bapanya ke balai polis dan tempat kejadian. 

Difahamkan ada seorang lagi mangsa yang juga mengalami kejadian yang sama, 15 minit sebelum itu. 

Selesai membuat laporan polis, mereka diminta berjumpa dengan seorang inspektor di IPD. Setibanya di sana, rupanya ada dua buah lagi kereta sedang menunggu giliran untuk dirakam gambar di atas kes yang sama. 

"Sekarang tengah menunggu polis menjalankan siasatan. Malam tadi ada dua pegawai dari balai polis lain menghubungi saya untuk membantu siasatan kes ini. Siap ada pegawai hantar gambar untuk sahkan tempat kejadian. Terima kasih sangat-sangat di atas tindakan pantas PDRM," katanya. 

Justeru, mangsa menasihatkan orang ramai khususnya golongan wanita meletakkan beg atau barang berharga di tempat yang selamat iaitu bonet kereta. 

"Saya sendiri pun tak menjangka boleh kena kejadian seperti ini. Berhati-hatilah, penjenayah ini masih bebas di luar sana. Saya masih terbayang bunyi tingkap pecah tadi. InshaAllah akan pulih," katanya. 

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.