Vingada yakin pamer aksi terbaik hadapi Korea Utara

loading...


KETUA jurulatih skuad bola sepak Malaysia, Nelo Vingada yakin anak buahnya akan mempamerkan aksi terbaik menentang Korea Utara dalam dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 di Thailand pada 10 dan 13 November, walaupun tanpa kehadiran beberapa tonggak utama akibat kecederaan.

Pemain tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar dan penyerang Johor Darul Ta’zim, Darren Lok tidak diturunkan untuk perlawanan itu setelah mendapat kecederaan semasa final Piala Malaysia antara kedua-dua pasukan pada Sabtu lepas, dan mereka digantikan pemain tengah Perak, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri dan pemain sayap Felda United, Muhammad Hadin Azman.

“Kami hanya berpeluang menjalani latihan beberapa hari sebelum berlepas ke Thailand memandangkan kedua-dua pemain Kedah dan JDT terbabit dalam perlawanan final Piala Malaysia, tetapi saya lihat pemain dalam keadaan motivasi yang tinggi menjelang dua perlawanan penting ini,” kata Vingada kepada pemberita sebelum skuad negara berlepas ke Thailand di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Khairil Anuar mengintai peluang untuk berada dalam kesebelasan utama untuk dua aksi penting berkenaan walaupun disenaraikan buat julung kalinya untuk menyarung jersi skuad senior kebangsaan.

Pemain sayap skuad Bawah 22 (B-22) kebangsaan itu yang disenaraikan pada saat-saat akhir bagi menggantikan tempat Darren Lok, bertekad untuk membalas kepercayaan yang diberikan Vingada sekiranya diturunkan pada kedua-dua perlawanan berkenaan.

"Harapan saya untuk kita dapat enam mata bagi mencerahkan peluang layak ke pusingan akhir dan saya harap rakan sepasukan dapat beri komitmen terbaik untuk dua perlawanan ini.
“Walaupun ini merupakan panggilan pertama menyertai skuad kebangsaan, saya berharap dapat disenaraikan untuk beraksi dalam satu daripada perlawanan ini,” jelasnya yang lebih mesra dengan panggilan Beto dalam kalangan rakan sepasukan.

Berkongsi pandangan sama adalah pemain tengah Pahang,  Nor Azam Abdul Azih yang berharap dapat membantu skuad kebangsaan mencatat kemenangan selepas disisihkan pada aksi berdepan Hong Kong sebelum ini akibat masalah keluarga.

“Saya harap rakan sepasukan dapat beri persembahan yang terbaik walaupun beberapa kali perlawanan ini ditunda kerana misi utama kita di Thailand nanti adalah memburu keputusan positif berdepan Korea Utara,” katanya.

Korea Utara bakal menjadi tuan rumah untuk aksi pertama pada 10 November sebelum Malaysia menjadi tuan rumah untuk aksi timbal balik pada 13 November ini dengan kedua-dua perlawanan dijadualkan berlangsung di Stadium i-mobile, Buriram, Thailand.

Perlawanan itu pada mulanya dijadualkan pada 28 Mac di Pyongyang dan ia ditangguhkan ke 8 Jun, berikutan ketegangan hubungan diplomatik antara Korea Utara dan Malaysia, selepas pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, di KLIA2 pada 13 Februari.

Perlawanan itu sekali lagi ditunda ke 5 Oktober, hanya lima hari sebelum aksi menentang Hong Kong pada 10 Oktober yang menyaksikan Malaysia tewas 0-2.

Malaysia kini menduduki tangga terakhir daripada empat pasukan dalam kumpulan B pusingan kelayakan Piala Asia 2019 dengan kutipan satu mata setelah mengharungi tiga perlawanan. – Bernama

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.