Seramai 11,606 guru duka lara dipindahkan mengikut pasangan

loading...

Seramai 11,606 guru duka lara dipindahkan mengikut pasangan masing-masing sejak 1 Januari 2016 hingga 1 Januari 2018, lapor Utusan Malaysia. 

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon berkata, proses pertukaran itu dilaksanakan berdasarkan tiga syarat iaitu:
  1. Kepentingan perkhidmatan
  2. Kekosongan jawatan
  3. Keperluan opsyen negeri yang memohon

"Isu guru duka lara akan terus wujud kerana urusan pemindahan tempat kerja guru berkahwin berlaku sepanjang tahun, namun kementerian sentiasa berusaha untuk menyelesaikannya. 

"Bagaimanapun, setiap permohonan perlu mengikut syarat yang ditetapkan bagi menjamin kelangsungan perkhidmatan di institusi pendidikan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) di Dewan Rakyat semalam. 

Terdahulu, King Sing meminta perangkaan guru duka lara yang berjaya disatukan kembali dengan pasangan susulan timbul pelbagai isu sehingga mengundang masalah seperti perceraian dan perselisihan rumah tangga. 

PERTIMBANGAN LAIN

Menjawab soalan tambahan King Sing pertimbangan lain kementerian dalam meneliti permohonan guru duka lara, Sin Woon berkata, beberapa pertimbangan turut diambil kira dalam isu berkenaan. 

"Ia merangkumi kes sakit kronik kalangan ibu bapa pendidik, selain guru yang berdepan dengan ancaman keselamatan diri. 

"Kes ini juga diambil kira untuk pertukaran. Namun kita perlu lihat kekosongan di negeri yang dipohon bagi memastikan keseimbangan penawaran dan permintaan jawatan. 

"Ini tugas sukar kerana sehingga kini Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis merekodkan jumlah permohonan pertukaran guru duka lara tertinggi ke negeri berkenaan tetapi mempunyai kekosongan jawatan yang terhad," katanya. 

BERI PILIHAN KEPADA GURU

Bagaimanapun, kementerian memberi pilihan kepada guru duka lara untuk berkhidmat di negeri berhampiran sekiranya ada kekosongan jawatan di tempat yang dimohon. 

Malangnya, kebanyakan guru duka lara menolak tawaran itu kerana beranggapan langkah itu akan menyebabkan mereka berdepan dengan kesukaran untuk membuat permohonan semula selepas bertugas di mana-mana negeri. 

"Contohnya di Kelantan saja kita menerima permohonan pertukaran guru duka lara menjangkau 1,999 orang, namun kekosongan jawatan sekolah menengah hanya ada 40 tempta sahaja," katanya menjawab soalan Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang). 

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.