'Sakit kan bila dicurangi?' - Suami kesal isteri enggan memaafkan kecurangannya

loading...

Seorang isteri mungkin masih mampu menerima jika suami enggan membantunya menguruskan rumahtangga, tetapi apabila kepercayaan yang diberi dikhianati, mungkin suami akan mendapat peluang kedua. Jika peluang yang diberi tidak dimanfaatkan, rasakanlah akibatnya untuk jangka masa yang lama. 

Hargailah isteri. Jangan dikhianati kepercayaan yang diberi.

SAYA sekadar berkongsi rahsia hati dan pengalaman. Saya seorang suami yang pernah curang dan kini menerima kifarah Allah setelah saya benar-benar bertaubat. Julai ini, genaplah 18 tahun usia perkahwinan saya. 

Saya bernikah ketika berusia 20 tahun, manakala isteri 17 tahun. Isteri saya adalah pilihan keluarga saya. Dan saya pada waktu itu telahpun mempunyai kekasih pilihan hati. Saya tahu kenapa ibu mahu saya berkahwin segera kerana ibu tidak gemar dengan gadis pilihan saya yang mana dia seorang gadis sangat sosial orangnya. 

Dipendekkan cerita, akhirnya dalam keterpaksaan saya bernikah jua. Saya cuba melupakan teman wanita namun saya gagal berbuat demikian. Maka saya mengambil keputusan untuk berpindah ke kampung nenek kerana tidak mahu bersua muka dengan bekas teman wanita. 

Hampir setahun usia rumah tangga kami, isteri saya mengandung. Secara jujurnya, saya pada waktu itu langsung tidak berasa teruja nak menimang anak kembar. Isteri pula mengalami alahan yang teruk sehingga saya terpaksa membawa isteri pulang ke kampung. 

Saya mula rasa terabai pada waktu itu, rasa sepi. Lalu saya menghubungi kembali bekas teman wanita dan akhirnya  kami kembali menjalin kasih sehingga berjumpa di hotel. 


Tetapi Allah Maha Mengetahui. Kecurangan saya terbongkar, isteri saya tertekan sehingga mengalami tumpah darah. Saya rasa sangat bersalah. Di atas desakan dan pujukan keluarga saya, isteri memaafkan saya dan beri peluang pada saya. Namun begitu, saya curang lagi ketika anak kembar kami berusia setahun. 

Kali ini isteri bersama bapa saya yang juga ustaz menangkap saya di bilik hotel. Malu yang teramat malu pada ketika itu. Tetapi saya pelik kenapa isteri saya langsung tidak memohon fasakh walaupun ibu saya sendiri yang suruh. Saya fikir mungkin isteri memikirkan anak-anak masih kecil. 

Saya bertaubat dan bersunguh-sungguh berubah. Saya tumpukan perhatian pada kerjaya dan anak-anak. Bila isteri menyuarakan niat mahu sambung belajar, saya support dari segi kewangan. Dia mempunyai keputusan SPM yang cemerlang tetap terpaksa berhenti belajar kerana desakan keluarga untuk bernikah dengan saya dan disebabkan itulah saya menyokong dia sehingga kini. 

Rumah tangga kami baik sahaja dan saya berusaha menjadi ayah dan juga suami yang baik. Namun hubungan kami suami isteri tercalar apabila saya terbaca WhatsApp isteri dengan seorang lelaki ketika dia di tahun akhir PJJ. Saya tanya dia dan jawapan dia membuatkan saya terkedu. 


Dia kata, "sakit kan bila dicurangi" dan  dia menanggung seribu kali ganda sakit itu bila dia baca segala WhatsApp saya lalu memberitahu bapa saya. Saya menangis dan meminta agar dia melupakan perkara lalu kerana saya benar-benar menyayangi dia dan mahu berubah. Tetapi dia cuma senyum sinis dan kata dia akan balas setiap titis air mata dia yang saya perah sebelum ini. 

Mulai detik itu, saya mula bimbang dia curang sehingga ke katil hotel seperti saya dahulu. Saya mula mengekori dia tetapi dia tidak pernah tak balik bermalam di rumah. Habis kerja jam 5.30 petang, sejam selepas itu dia mesti sudah sampai di rumah. Maka saya tepiskan perasaan tersebut. Saya berusaha saban detik membuktikan kejujuran dan kasih sayang saya kepadanya. 

Sudah beberapa tahun berlalu, tetapi renungan dia tidak pernah berubah. Dia masih tidak melupakan kecurangan saya. Dia cukup pandai berlakon di depan keluarga dan anak-anak. Tetapi bila dengan saya, muncullah diri dia yang sebenar. 

Berbelas tahun saya memendam semua ini kerana kesakitan ini bermula dari perbuatan saya. Tetapi sekarang saya mula takut akan kehilangan isteri saya kerana saya baca WhatsApp isteri seminggu yang lalu dan lelaki itu mendesak isteri menuntut saya menceraikannya. 


Saya buntu, keluarga saya tidak lagi percaya kepada saya dan mana mungkin saya mahu meminta bantuan mereka? Lagipun isteri saya menantu kesayangan ibu. Saya berdoa saban waktu agar Allah memberikan petunjuk dan hidayah. 

Kepada suami-suami yang membaca, jangan sesekali mencuba untuk curang kerana bila kita dicurangi, waktu itu kita cuma mampu berharap agar kita mampu mengubah waktu silam. Wanita memang lembut tetapi bila peluang diberi tidak dimanfaatkan, lalu kembali mencalar kepercayaan. Maka itulah detik paling susah dan sukar untuk lelaki kembali meraih kepercayaan itu. 

Sumber: Confessor di Kisah Rumah Tangga

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.