Rombak Segera Harimau Malaya - Datuk Santokh Singh

loading...


Kegagalan melakar sebarang kemenangan dalam tujuh aksi berturut-turut nyata menimbulkan rasa tidak senang legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh yang mahu pengendali Harimau Malaya, Nelo Vingada melepaskan jawatan itu sebagai tanda maaf kepada seluruh peminat bola sepak tempatan.

Santokh yang pernah berjuang pada kelayakan Sukan Olimpik 1980 hingga berjaya menempah slot ke Moscow berkata, sesuatu yang mengejutkan apabila Vingada masih diberi peluang membimbing pasukan negara meskipun gagal meraih kemenangan sejak enam bulan lalu.

“FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) sekarang makin pelik. Saya rasa kita satu-satunya pasukan di dunia yang masih simpan jurulatih biarpun kalah dalam tujuh perlawanan. Kalau negara lain dah lama tukar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

“Mungkin sebab beliau jurulatih luar, cuba kalau jurulatih tempatan saya rasa dah lama FAM pecat.”Apa yang tak bagusnya jurulatih kita sendiri? Saya dari awal lagi tak setuju kita guna jurulatih luar kerana mereka memerlukan masa yang lama untuk memahami bola sepak kita.

“Dalam perlawanan antarabangsa, kita tak boleh ada istilah cuba-cuba kerana setiap kekalahan akan memberi tekanan kepada imej pasukan Malaysia, ranking dan juga penyokong yang amat menyayangi pasukan negara,” katanya.

Perjuangan skuad kebangsaan dalam saingan kelayakan Piala Asia 2019 berkubur selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut kepada Korea Utara dengan keputusan sama 1-4 di Buriram, Thailand malam tadi.

Ia juga kekalahan keempat daripada lima aksi Kumpulan B yang menyaksikan anak buah Vingada tumbang 1-2 di tangan Lubnan serta tewas 0-2 kepada Hong Kong selain seri 1-1 dengan lawan sama untuk mengumpul satu mata sekali gus berada di tangga tercorot.

Bukan itu saja, dua kekalahan dalam aksi persahabatan yang diatur Ogos lalu turut mencalar reputasi negara terutamanya apabila dimalukan Myanmar 0-1 yang hanya membariskan skuad kedua selain turut tewas 1-2 kepada Syria.

“Bila kita bekas pemain bercakap atau bersuara mereka (FAM) takkan dengar, malah ada pula suara lain yang suruh kita duduk muzium.

“Bagi saya, kita tak boleh guna jurulatih luar untuk melatih senior sekarang kerana mereka sudah capai tahap maksimum yang sukar untuk pergi lebih jauh. Sebaiknya guna saja jurulatih tempatan yang lebih memahami realiti bola sepak di Malaysia.

“Ini pasukan kebangsaan bukannya kelab yang boleh mengharapkan pemain import. Rombak segera pasukan ini dan beri fokus sepenuhnya kepada pasukan pelapis dengan menggunakan jurulatih kita dan bagi bantuan sepenuhnya,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.