Perlu masa fikir Liga Juara-Juara Asia

loading...


KUALA LUMPUR: Sesudah melengkapkan kejuaraan dalam saingan tempatan dan Piala AFC, Johor Darul Ta'zim (JDT) kini sedia memikirkan mengenai sasaran baharu untuk layak beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL), musim depan.

Jurulatih JDT, Ulisses Morais bagaimanapun menjelaskan dia dan barisan kejurulatihan memerlukan masa untuk memikirkan bagaimana untuk mencapai sasaran itu selepas baru sahaja menjulang kejuaraan sulung Piala Malaysia, sabtu lepas.

"Semua orang (di JDT) termasuk staf dan pemain kini perlu bercuti selepas mengharungi saingan yang memenatkan sepanjang musim ini.

"Kami perlukan masa untuk memikirkan mengenai perkara itu (layak ke ACL) dan sudah pasti kami juga sedang bergerak ke arah itu," katanya ketika ditanya adakah skuad semasa JDT mampu melepasi kelayakan beraksi di saingan tertinggi Asia itu.

JDT sudah tiga kali mencuba untuk layak ke ACL namun terkandas di pusingan kedua kelayakan pada musim 2015 dan 2016.

Pencapaian terbaik Harimau Selatan adalah musim ini apabila mereka mara hingga ke pusingan play-off tetapi terpaksa akur apabila tewas 0-3 di tangan kelab Jepun, Gamba Osaka.

Apa yang pasti, sentuhan magis Morais sekali lagi diharapkan untuk JDT layak ke ACL musim depan selepas prestasi cemerlangnya musim ini termasuk menghadiahkan Piala Malaysia buat kali pertama buat kelab itu.

Selain itu, mengulas mengenai kejayaan pasukannya menjuarai Piala Malaysia, Morais menegaskan JDT berhak meraikan kejuaraan manis itu selepas persembahan cemerlang anak buahnya sepanjang perlawanan akhir berdepan Kedah di Stadium Shah Alam.

"Saya sedar ramai penyokong hairan melihat barisan kesebelasan utama pada perlawanan akhir piala malaysia 2017. Saya sentiasa beritahu pemain JDT mempunyai 27 pemain dan sesiapa saja boleh bermain untuk skuad utama.

"Bagi perlawanan ini, barisan kejurulatihan sepakat untuk menurunkan Gary Steven Robbat, Aidil Zafuan Radzak serta Hazwan Bakri dan mereka beraksi dengan baik.

"Semua orang juga tahu Farizal Marlias tidak dibenarkan bermain, Marcos Antonio pula mengalami kecederaan, namun mereka berdua juga layak untuk meraikan kemenangan juara piala malaysia 2017," katanya.

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.