Kisah dongeng Gary dan Junior

loading...


KUALA LUMPUR: Pemain kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Gary Steven Robbat dan Junior Eldstal sama sekali tidak pernah menyangka bahawa mereka akan menamatkan kempen musim ini dengan menjulang Piala Malaysia.

Diketepikan daripada pasukan di awal musim akibat kecederaan, mereka bukan saja terpaksa bangkit kembali mendapatkan kecergasan malah perlu bersaing merebut tempat dalam skuad JDT yang dibarisi ramai pemain berbakat.

Gary dan Junior mendapat semula kepercayaan jurulatih, Ulisses Morais dan turut memainkan peranan ketika membantu kelab itu menewaskan Kedah 2-0 pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam sabtu lepas.

Bagi pemain tengah Gary, kemenangan ke atas pasukan negeri kelahirannya itu adalah detik terbaik untuk menutup kritikan yang dilemparkan kepadanya selepas berehat selama enam bulan gara-gara kecederaan lutut.

"Saya mengalami kecederaan untuk enam bulan pertama musim ini dan apabila saya kembali pulih, saya berusaha untuk mendapatkan tempat dalam pasukan," kata Gary yang hanya kembali beraksi pada 9 September lalu ketika menewaskan Selangor 3-1 dalam perlawanan Piala Malaysia.

"Jurulatih memberi kepercayaan kepada saya dan membenarkan saya bermain dalam beberapa perlawanan. Ada beberapa perlawanan saya bermain sebagai pemain gantian tapi saya tetap berterima kasih kepada jurulatih kerana memberi saya peluang."



Gary, 25, diberi peluang beraksi dalam final Piala Malaysia dengan mengambil tempat Afiq Fazail di bahagian tengah untuk mengawal pergerakan pemain import Kedah, Sandro Mendonca dan Liridon Krasniqi sebelum dikeluarkan pada minit ke-60 akibat kecederaan.

"Saya sangat gembira kerana ini kali pertama saya memenangi Piala Malaysia. Jurulatih memaklumkan kepada saya sebelum perlawanan final bahawa saya akan berada dalam kesebelasan utama dan saya tidak terkejut kerana saya sudah bermain menentang Kedah dalam perlawanan Liga Super sebelum ini."

Sementara itu, Junior,26, yang turut berehat panjang di awal musim akibat kecederaan belakang berjaya merebut posisi Marcos Antonio Santos di bahagian pertahanan.

"Ia perasaan yang hebat untuk menamatkan kempen musim ini dengan kejayaan," katanya yang masuk pada separuh masa kedua menggantikan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak. "Saya ada berbual dengan TMJ (pemilik kelab Tunku Ismail Sultan Ibrahim) mengenai Piala Malaysia dan berusaha untuk kembali bagi mengisi tempat Marcos yang ditimpa kecederaan.''

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.