KFA perlu diperkasa sebagai kelab seperti JDT

loading...


ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) perlu ditransformasikan menjadi sebuah kelab seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali gus tidak terlalu bergantung dengan dana kerajaan negeri.

Perkara itu disuarakan Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi (Amanah-Pengkalan Kundur) yang melihat skuad Helang Merah kini memerlukan kos yang besar untuk tujuan pengurusan pasukan.

Katanya, KFA memerlukan perbelanjaan berjuta ringgit yang menyebabkan suntikan diperlukan dari kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Saya rasa sudah tiba masanya, ..KFA tidak boleh lagi menjadi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tetapi perlu menjadi sebuah badan perniagaan iaitu kelab bola sepak seperti yang dilakukan JDT.

"JDT adalah kelab yang sudah bergerak sendiri maka KFA perlu mengikut jejak yang sama, bukan lagi dikaitkan kepimpinan negeri dengan menteri besarnya menjadi Presiden.

"Pandangan saya ini tiada kaitan dengan kekalahan KFA pada Piala Malaysia baru-baru ini tetapi berdasarkan perbelanjaan yang sangat besar dengan membabitkan duit awam," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Phahrolrazi berkata, beliau merasakan kepimpinan negeri tidak perlu terbabit dengan KFA kerana mereka mempunyai banyak lagi kerja yang perlu dilakukan.

"Kenapa orang nak Menteri Besar dalam KFA? ..saya yakin kerana dana. Apabila tidak cukup dana maka dana diambil dari GLC. Adakah ia satu hala tuju yang betul?

"Saya dimaklumkan gaji pemain pun sudah berpuluh-puluh ribu, manakala KFA perlukan suntikan berpuluh juta bagi menggerakkan pasukan.

"Sepatutnya KFA perlu ditrasformasikan bagi mempunyai keupayaan menjana pendapatan sendiri, sekali gus menjadi sebuah kelab berunsur perniagaan," katanya.

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.