JDT ledak 107 gol musim ini

loading...


KUALA LUMPUR: Juara berganda musim ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) memperagakan prestasi cemerlang apabila berjaya menjaringkan 107 gol dalam semua pertandingan diharungi mereka sepanjang musim ini.

Menerusi kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers, hampir separuh daripada jumlah jaringan terbabit disumbangkan menerusi aksi Liga Super yang menyaksikan juara liga empat kali itu meledak 50 gol dalam 22 perlawanan musim ini.

Sementara itu, aksi Piala Malaysia menjadi penyumbang gol kedua terbanyak buat skuad Harimau Selatan itu pada musim ini dengan anak buah Ulisses Morais menjaringkan 27 gol termasuk dua gol pada pentas akhir di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu untuk menumbangkan juara bertahan, Kedah.

Dalam tiga lagi kejohanan, pemain JDT menyumbat sembilan gol dalam perlawanan Piala FA, 20 gol dalam aksi Piala AFC sementara satu gol dalam perlawanan Kelayakan Liga Juara Juara Asia (ACL).

Bagaimanapun, rekod 107 jaringan itu masih belum mampu memintas rekod musim 2016 yang menjadi musim terbaik buat mereka apabila meledak 119 gol sepanjang musim terbabit.

Berdasarkan pecahan mengikut pertandingan, skuad yang ketika itu dibimbing Mario Gomez berjaya meledak 56 gol dalam Liga Super dan 21 gol dalam Piala FA yang turut menyaksikan mereka muncul juara selepas membenam PKNS FC 2-1 pada aksi final di Stadium Shah Alam pada 14 Mei 2016.

Bagaimanapun, perjuangan JDT dalam Piala Malaysia yang tersekat pada peringkat kumpulan menyebabkan mereka hanya meledak sembilan gol dalam enam perlawanan namun mereka memperagakan rentak garang di peringkat Asia apabila menjaringkan 33 gol dalam saingan Piala AFC 2016.

Bagi musim 2013, mereka mencatat 55 jaringan dengan pecahannya adalah 32 gol dalam Liga Super, lapan dalam Piala FA dan 15 dalam Piala Malaysia manakala 69 gol berjaya dicetak sepanjang musim 2014 dengan 39 dalam Liga Super, enam pada Piala FA serta 24 dalam Piala Malaysia.

Jumlah jaringan skuad Harimau Selatan itu terus meningkat pada 2015 yang menyaksikan mereka berjaya menghasilkan 78 gol dengan 56 gol dicatatkan dalam Liga Super, satu gol dalam Piala FA serta 17 gol dalam Piala Malaysia.

Mereka turut cemerlang menyumbat dua gol dalam aksi kelayakan ACL selain meledak 22 gol untuk muncul pasukan Asia Tenggara pertama menjuarai Piala AFC pada musim 2015 dan secara keseluruhan, pasukan itu sudah mengumpul 428 jaringan sejak 2013.

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.