Adam: Kami masih ada maruah untuk dipertahankan

loading...


Itu laungan pertahanan muda kebangsaan, Adam Nor Azlin, yang tekad mahu memastikan nama baik negara dijaga bagi memperbaiki persembahan longlai ketika tunduk 1-4 kepada Korea Utara, Jumaat lalu.

Adam dijangka menjadi antara pemain muda yang bakal diberikan kesempatan untuk diturunkan di Stadium I-Mobile dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2019 menentang lawan sama, malam ini.

Enggan memikirkan suara sumbang peminat di atas kekalahan tempoh hari, semangat Adam jelas membara untuk melakar kejutan pada perlawanan kelima peringkat kumpulan kelayakan itu.

“Kami perlu menjaga maruah negara dan saya harap pemain-pemain dapat mempamerkan aksi yang terbaik untuk dalam masa sama, membantu jurulatih kerana dia juga masih belum meraih sebarang kemenangan.

“Pemain-pemain perlu bangkit dan memberikan aksi 100 peratus. Jika kalah, biarlah kalah bermaruah,” katanya.

Bagi ketua jurulatih, Nelo Vingada, dia mempertaruhkan sepenuhnya kepercayaan kepada pemain agar membuka buku baru untuk pertemuan kali kedua menentang Korea Utara.

Tiada istilah kalah sebelum berjuang, Vingada menyeru kepada pemain agar jangan sesekali gentar atau terlalu hormat kepada kemampuan lawan.

“Istilah putus asa tidak pernah wujud dalam kamus bola sepak saya.

“Saya berpegang kepada prinsip itu ketika bergelar pemain dan juga dalam kehidupan seharian. Selagi saya bernafas, saya akan berjuang dan saya lega pemain-pemain bersama saya,” ujar Vingada.

Selain Adam, pemain tengah yang digantung sebelum ini, Safiq Rahim, dijangka kembali mengisi posisi tengah, diikuti Amirul Azhan Aznan dan Nazirul Naim Che Hashim di bahagian pertahanan.

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.