4 sebab JDT julang Piala Malaysia 2017

loading...


MAMPUKAH Johor Darul Ta'zim (JDT) menjulang Piala Malaysia sekali gus menambah koleksi trofi mereka esok? Walaupun Piala Malaysia tidak menjadi keutamaan JDT, tetapi empat faktor ini bakal menjadi penentu kejuaraan JDT tahun ini.

1. Inilah peluang JDT menyekat Kedah daripada menjulang piala ketiga. Mereka kehilangan dua trofi domestik kepada Kedah dan sudah pasti mereka mahu menghalang Kedah daripada menyapu bersih piala domestik dari JDT. Dengan hanya satu piala, musim JDT 2017 dilihat merosot berbanding musim 2016. Dan inilah peluang mereka untuk menambah koleksi kejuaraan mereka kepada sembilan sepanjang tempoh penubuhan kelab.

2. Faktor pemain bintang pasti menjadi elemen penting dalam pertembungan final. JDT jika turun dengan kesebelasan terbaik mereka sukar ditewaskan oleh mana-mana pasukan tahun ini. Pengalaman bermain di final juga dilihat bakal membantu pasukan. Walaupun dibarisi pemain muda, skuad Kedah dilihat sudah matang dan serasi sebagai satu pasukan. Pengalaman bermain pada final keempat dalam tiga musim pasti menjanjikan laluan sukar buat JDT.

3. Tidak dinafikan kekuatan pemain import bakal menjadi penentu kejuaraan. JDT pasti terasa kehilangan Marcos Antonio di barisan pertahanan. Tetapi mereka dilihat sangat ampuh dengan barisan import tengah dan serangan. Gandingan Gabriel Guerra dan Gonzalo Cabrera pasti mencuri tumpuan untuk membantu Mohammed Ghaddar merobek gawang Kedah. Liridon Krasniqi dan Sandro Da Silva dituntut memberikan aksi terbaik mereka mengemudi barisan tengah Kedah di samping kekentalan Zach Anderson di benteng. Ken Ilso Larsen yang masih bergelut dengan kecergasan dilihat mampu mencetuskan huru-hara di bahagian belakang JDT.

4. Formasi 4-4-2 JDT juga boleh diambil kira sebagai faktor kekuatan. Saya memilih Cabrera sebagai pemain yang perlu diberi perhatian untuk pertemuan ini. Beliau dilihat cukup selesa dengan formasi yang diterapkan jurulatih. Jika dilihat kesungguhan beliau pada perlawanan separuh akhir kedua tempoh hari, tidak mustahil beliau sekali lagi mampu menggugat benteng Kedah. Beliau sangat licik dan mampu menjaringkan gol dari jarak jauh. Gandingannya dengan Safiq Rahim dan Gabriel Guerra dilihat bakal membayangi bahagian tengah pasukan Kedah. Larian beliau juga sering kali membuka ruang kepada Ghaddar untuk menjaringkan gol.

Apapun, pertembungan Kedah dan JDT pasti satu perlawanan akhir yang ditunggu-tunggu. Pertembungan dua pasukan terbaik Malaysia ketika ini diharap dapat diterjemahkan kepada perlawanan yang sengit dan berkualiti tinggi. Semoga pasukan terbaik menjadi juara Piala Malaysia 2017.

Barisan kemungkinan Kedah: Ifwat Akmal, Rizal Ghazali, Khairul Helmi Johari, Zach Anderson, Fitri Omar, Amirul Hisyam Awang Kechil, Syazwan Zainon, Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva, Baddrol Bakhtiar, Ken Ilso Larsen

Barisan kemungkinan JDT: Izham Tarmizi Roslan, Fazly Mazlan, Junior Eldstal, Fadhli Shas, S Kunanlan, Mohd Afiq Fazail, Natxo Insa, Safiq Rahim, Gonzalo Cabrera, Gabriel Guerra, Mohammed Ghaddar

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.