'Mungkin anjing itu terkejut dengar bunyi rempuhan, lalu terus menggigit kepala dan telinga anak saya'

loading...

BATU PAHAT, JOHOR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun parah digigit anjing selepas motosikal yang ditunggang oleh bapa saudaranya bersama ibu dan kakaknya terbabas, lapor Harian Metro. 

Dalam kejadian di depan rumah kedai di Taman Banang Height kemarin, mangsa, Ainin Syuhadah Syahrul Nizam, 2, parah di kepala akibat digigit seekor anjing yang ditambat di hadapan premis tersebut. 

Menurut laporan, motosikal yang ditunggang oleh bapa saudaranya, 17, dalam perjalanan pulang ke rumah sewa yang berdekatan. Namun dalam perjalanan itu, adiknya cuba mengelak sebuah lori yang sedang memunggah barang lalu menyebabkan mereka terbabas dan merempuh pintu kedai bersebelahan menyebabkan kesemua mangsa terjatuh. 

"Kami dalam perjalanan pulang dari hospital selepas menziarahi seorang lagi adik saya yang sakit dan ketika kejadian, saya memeluk Ainin Syuhadah lalu terjatuh ke dalam longkang. Manakala adik saya dan Ainul Safiya jatuh di bahagian kaki lima premis berkenaan," katanya.


Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), anjing berkenaan terus menerkam mangsa dan enggan melepaskan gigitannya menyebabkan orang ramai yang melihat kejadian itu turut membantu melepaskan mangsa. 

"Secara tiba-tiba anjing yang diikat di situ menerkam kami, mungkin kerana haiwan itu terkejut terdengar bunyi rempuhan motosikal ke pintu kedai dan terus menggigit kepala Ainin Syuhadah. 

"Anak saya menangis kesakitan dan meraung sekuat hati ketika anjing itu menggigit bahagian belakang kepala termasuk telinga kanan sehingga darah mengalir. Orang ramai juga membantu melepaskan gigitan anjing terbabit sebelum anak dibawa ke hospital dan menerima beberapa jahitan di kepala serta telinga," katanya yang masih berada dalam keadaan trauma. 

Difahamkan, Noor Fazilah Ishak, 30,  anaknya, Ainul Safiya, 4, serta bapa saudaranya tidak mengalami sebarang kecederaan dan Ainin Syuhadah kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI). 

Dalam kenyataan kepada media, Noor Fazilah kesal dengan komen-komen netizen yang membuat andaian sendiri sehingga menuduh adiknya mengambil bahan terlarang, selain menyatakan pemilik anjing berkenaan tidak bertanggungjawab. 

"Saya kesal apabila membaca komen di media sosial termasuk menyatakan pemilik anjing berkenaan tidak bertanggungjawab. Sedangkan mereka memberi kerjasama yang baik termasuk melawat anak di hospital semalam. 

"Kami juga sudah membuat laporan polis serta merujuk kepada Jabatan Veterinar berkaitan haiwan itu dan tidak mahu isu ini terus diperbesarkan sedangkan ia boleh diselesaikan dengan cara baik," katanya. 






Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa mengesahkan kejadian itu dan meminta pihak berkuasa tempatan melakukan pemantauan terhadap anjing-anjing liar mahupun anjing perliharaan yang dibiarkan di tempat awam. 

"Kes berkenaan disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 manakala kes kanak-kanak digigit anjing disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana cuai sehingga menyebabkan binatang peliharaan mendatangkan kecederaan. 

"Jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksima enam bulan dan denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya. 

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.