'Mereka berniat jahat dan mahu menjatuhkan saya' - Yusoff

loading...

PUTRAJAYA - Bekas Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob mengatakan ada individu yang berniat jahat ingin menjatuhkan maruahnya, menghinanya serta mempunyai agenda tertentu, lapor Harian Metro. 

"Mereka mempunyai niat jahat, ingin menjatuhkan maruah saya, menghina saya serta mempunyai agenda tertentu," demikian katanya di kandang saksi di hadapan Majistret Muhammad Zaki Abd Kudos, di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini. 

Menurut Yusoff, tindakan dua pegawai penguat kuasa JPJ yang merakam gambarnya memandu di lorong kecemasan pada 7 Oktober tahun lalu dilihat mempunyai niat jahat untuk menjatuhkannya kerana gambar itu turut diviralkan di media sosial pada keesokan harinya. 

"Saya dapati mereka berniat jahat pada saya dan beberapa hari kemudian, pejabat Ketua Pengarah (JPJ) dipecah oleh anggota dari bahagian sama. Perbuatan ini ada agenda tertentu dan berniat jahat terhadap saya dan pengurusan tertinggi JPJ," katanya. 

Menurut Yusoff, beliau bertindak memandu di lorong kecemasan pada hari kejadian kerana berasa bertanggungjawab untuk membuat pemantauan mengenai kesesakan teruk di kawasan itu yang kemudian mendapati ada dua anggota JPJ yang memberhentikan kenderaan di bahu jalan sebelum meneruskan pemanduan dan berhenti selepas Plaza Tol Putrajaya untuk menghantar pesanan dalam kumpulan WhatsApp bagi bertanyakan operasi itu. 

"Saya bertanya mengapa anggota berkenaan membuat operasi di tempat yang tidak sesuai dan tidak mengikut prosedur kerana ia dilihat menambahkan lagi kesesakan di kawasan itu. Saya menerima balasan pesanan daripada bahagian penguatkuasaan JPJ Selangor yang memaklumkan dua anggota berkenaan bukan dari Selangor, sebaliknya dari Ibu Pejabat JPJ Putrajaya," katanya. 

Yusof berkata, tindakan operasi yang dilakukan itu dilihat seperti mahu memerangkap pemandu dan juga tidak sesuai dilakukan kerana pada waktu itu adalah waktu orang pulang kerja

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan dalam hujahnya memaklumkan, biarpun Yusoff ada kuasa untuk melakukan pemantauan lalu lintas, namun beliau masih tertakluk di bawah undang-undang di mana jelas lorong kecemasan tidak boleh digunakan. 

Peguam bela Yusoff, Datuk Baljit Singh Sidhu pula berkata, anak guamnya memantau lalu lintas pada hari berkenaan atas dasar tanggungjawab serta memikirkan kepentingan umum. 

Majistret Muhammad Zakit menetapkan, 16 Oktober ini untuk keputusan kes berkenaan. 


Terdahulu, Yusoff didenda RM600 oleh Mahkamah Majistret pada 18 Julai lalu selepas mengaku bersalah memandu di lorong kecemasan di Lingkaran Putrajaya pada jam 6.27 petang, 7 Oktober 2016. 


Bagaimanapun, 25 Julai, Yusoff menukar kembali pengakuan kepada tidak bersalah dan didakwa semua mengikut Seksyen 119 (1)(c) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan jika sabit kesalahan. 

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.