'Kereta saya kena clamp, tapi kereta VIP tak kena pula?'

loading...

KUALA LUMPUR - Viral di media sosial gambar dua buah kereta berbeza warna, jenama dan 'darjat' di mana tayar kereta merah dikapit oleh petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tetapi sebuah kereta di hadapannya tidak dikenakan tindakan yang sama, lapor Harian Metro

"Kereta saya dikunci kerana meletakkan kenderaan di kawasan dilarang. Baiklah, saya terima. Tetapi kenapa kereta VIP ini yang juga meletakkan kenderaan di kawasan yang dilarang tidak dikunci seperti mana saya kena sedangkan dia berada di situ terlebih dahulu berbanding saya?" soal Winnie, pemilik kereta merah berkenaan. 

Menurut Winnie, ketika kejadian ada beberapa penguat kuasa muncul semula untuk membuat rondaan kali kedua dan kenderaan 'VIP' itu masih tidak dikapit tayarnya. 




Malah dia turut mempersoalkan, adakah kerana terdapat lambang polis pada plat kenderaan VIP itu yang menyebabkan DBKL tidak mengambil tindakan. 

Apabila Winnie mempersoalkan tindakan pihak yang mengapit tayar keretanya mengenai kereta 'VIP' terbabit, mereka hanya meminta Winnie hantarkan emel aduan kepada mereka. 



Tweet viral itu juga turut menarik perhatian bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang menjelaskan lambang pada nombor plat kenderaan itu bukanlah 'VIP' Polis Diraja Malaysia (PDRM), tetapi lambang Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM). 

"Itu bukan VIP PDRM, sebaliknya Persatuan Bekas Polis Malaysia dan ianya boleh dibeli oleh sesiapa bila mereka menyumbang kepada persatuan. 

"Yang clamp itu penguat kuasa PBT, bukan PDRM. Suruh DBKL check registration no kereta VIP itu dan keluarkan saman.


"Saya bukan ahli persatuan berkenaan. Sila hubungi PDRM untuk maklumat lanjut. Lambang itu bukan bermaksud anda boleh dikecualikan dari saman atas kesalahan lalu lintas," katanya. 

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penguatkuasaan DBKL Nasarudin Daharun berkata, dakwaan wanita berkenaan akan disiasat sama ada kenderaan itu dikunci bahagian trafik jabatan berkenaan atau sebaliknya. 

"Kami akan siasat ia dikunci bahagian trafik atau petugas yang dipinjamkan kepada operator pengendali parkir di bawah Yayasan Wilayah," katanya. 

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.