JPJ, SPAD, Trafik PDRM tolonglah jangan berbudi bahasa dengan lori tayar botak/celup

loading...

Lebih 750 nahas yang berlaku di lebuh raya PLUS adalah berpunca dari tayar pecah. Kalau memandu dari utara ke selatan, banyak kesan-kesan tayar lori pecah sama ada pecah tayar belakang, pecah tayar depan bagai. Kadang kala bersepah sisa-sisanya di atas lebuh raya. 

Dalam video kemalangan di PLUS Seremban baru-baru ini, tayar hadapan lori yang pecah. Apa punca tayar boleh meletup/pecah? Adakah disebabkan faktor cuaca? Jalan panas? Tayar celup dah uzur? Tayar guna tayar salji import sebab murah dan jimat kos syarikat pengangkutan? Atau dah kena tahan tetapi dilepaskan semula? 






Bukan nak menunding jari pada pemandu lori semata-mata, tetapi syarikat lori itu bagaimana?

Kawan adik ipar saya meninggal dunia ketika arwah sedang menunggang motosikal dan terlanggar serpihan besar tayar pecah. Ahli konvoi arwah sempat merakam gambar sebelum kereta peronda lebuh raya datang mengalihkan sisa tayar pecah tersebut. Malah ahli konvoi bertegas jangan alihkan dulu sisa tayar pecah itu sehingga polis tiba di lokasi kejadian. 


JPJ, SPAD, Trafik PDRM tolonglah jangan berbudi bahasa dengan lori yang menggunakan tayar botak atau celup yang terlalu uzur. Janganlah sibuk mencari nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi, cermin gelap bagai. Kes lori menggunakan tayar celup atau tayar uzur sehingga meletup sehingga membawa padah ini lebih penting. 

Nasihat saya, kalau pihak berkuasa menahan lori-lori ini, janganlah terima suapan. Sebaliknya saman tauke lori pengangkutan dan suruh mereka tukar kepada tayar yang lebih elok. 

Andai kata tayar lori ini pecah disebabkan tayarnya sudah uzur dan pernah ditahan sebelum ini tetapi dilepaskan kerana RM50, mangsa-mangsa yang meninggal dunia disebabkan kemalangan itu memang teraniaya. 

1 action, create a lot of chain reactions. 


Berapa ribu pengguna lebuh raya yang terkandas atau perancangan mereka terganggu disebabkan kesesakan semalam? Berapa ratus orang yang terpaksa batalkan temujanji? Berapa puluh orang yang terlewat mengambil anak di rumah pengasuh dan terpaksa membayar denda lewat ambil? Berapa puluh orang yang terpaksa batalkan program? Dan kini sebanyak empat hingga lima keluarga yang sedang menangisi kematian ahli keluarga mereka. 

Memanglah kes kemalangan itu masih dalam siasatan tetapi, tolonglah ambil serius dengan kejadian seperti ini kerana sudah banyak kes kemalangan yang melibatkan kes tayar pecah atau tayar celup ini. 

Tak pernah lagi dengar kemalangan berpunca dari nombor plat kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi. Ada juga cuba buat carian di Google kalau ada akhbar yang melaporkannya. Tetapi mungkin saman nombor plat ini adalah income dan keberhasilan utama negara untuk menampung kos-kos defisit bajet 40 bilion. 

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.