Cedera ditetak penyamun ketika tutup kedai

loading...

KUALA LUMPUR - Seorang pekerja sebuah restoran cedera di tangan akibat ditetak sekumpulan penyamun yang bersenjata parang, awal pagi semalam. 

Dalam kejadian lebih kurang jam 4 pagi semalam, di Taman Dato Senu, sebuah kedai makanan telah disamun oleh sekumpulan tiga lelaki berusia lingkungan 30-an, ketika pekerjanya sedang menutup kedai.  

Gambar dan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 47 saat itu yang dimuat naik oleh Ahmad Azri itu telah ditonton 83,000 kali dan dikongsi 745 pengguna Facebook.


Berdasarkan video itu, mangsa ketika itu sedang cuba menarik roller shutter. Secara tiba-tiba datang tiga suspek yang bersenjatakan parang berlari ke arah mangsa. Menyedari kehadiran tiga lelaki terbabit, mangsa segera melarikan diri ke dalam kedai. 


Selepas 15 saat kemudian, ketiga-tiga suspek itu beredar dari tempat kejadian, sebelum dua lelaki yang dipercayai pekerja kedai terbabit segera datang membantu mangsa. 


Menurut sumber, mangsa yang dikenali sebagai Amrit, cuba menahan dirinya daripada ditetak oleh suspek dengan menggunakan tangan dan tindakannya itu menyebabkan tangannya cedera. Gambar juga menunjukkan beberapa kesan tompokan darah mangsa di tempat kejadian.


Mangsa telah dihantar ke pusat perubatan dan menerima sebanyak 35 jahitan. Bagaimanapun, tidak dinyatakan berapa jumlah kerugian dalam kejadian samun itu. 

Justeru, Ahmad Azri menasihatkan orang ramai agar berhati-hati kerana kes samun di kawasan Sentul dan Gombak semakin menjadi-jadi. 

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.