'Tolonglah kembalikan, lens itu punca rezeki saya' - Hantar camera lens untuk dicuci, tetapi hilang dicuri

loading...

Assalammualaikum. Hari ini betul-betul menguji kesabaran saya. Perkara ini berlaku pada bulan Julai di mana saya menanti dengan penuh sabar untuk semua ini.  Ceritanya bermula begini:

28 JULAI 2017

Saya telah pergi ke GDEX Melaka Raya, syarikat kurier yang mungkin dipercayai ramai. Dengan membawa lens camera untuk dihantar ke Pulau Pinang, untuk dicuci. Saya telah siap isi dalam kotak dan balut. 

Setibanya di sana, saya telah meminta kakitangan kurier berkenaan untuk menampal pelekat mudah pecah agar barang saya tidak pecah atau rosak ketika berada dalam pegangan mereka. Ketika itu, hanya ada dua orang kakitangan saja yang bertugas iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. 

Mereka mengatakan kotak saya seperti sudah rosak. Kemudian kakitangan lelaki berkenaan mengambil dan membuka semula kotak saya untuk dibalut semula. 

*untuk makluman, undang-undang syarikat berkenaan tidak membenarkan kakitanganya untuk membungkus barang pelanggan, kata pengurusnya.

Ketika kejadian itu berlaku, saya tidak tahu akan undang-undang tersebut dan hanya mengetahuinya selepas kejadian. 

Sewaktu kakitangan lelaki itu membungkus barangan saya, kakitangan perempuan pula meminta saya membuat pembayaran kos penghantaran. Tetapi saya tidak mempunyai wang yang mencukupi lalu saya meminta untuk keluar sebentar mengambil wang di kereta. 

Sebelum keluar, saya mahu mengambil barang saya semula sebagai langkah berjaga-jaga. Tetapi mereka kata tidak mengapa. 

"Tak apa. Kami boleh tolong balutkan. Pergilah ambil duit di kereta," kata mereka. 

Saya percaya dengan kata-kata mereka dan keluar sebentar untuk mengambil wang di kereta. Kebetulan pula ada sebuah bank berhampiran, lalu saya pun pergi ke bank tersebut untuk mengeluarkan duit di mesin ATM.

Tidak sampai lima minit kemudian, saya telah pergi semula ke GDEX. Saya tengok lens saya telah siap dibalut dan ditampal pelekat mudah pecah. Saya bertanya, "dah siap ke?" dan kakitangan mereka mengiakan. Sungguh cepat! 

Atas dasar yakin dan percaya, saya pun membuat pembayaran dan beredar dari kurier tersebut. 

1 OGOS 2017

Saya telah menerima mesej dari penerima di Pulau Pinang yang mengatakan bahawa bungkusan yang saya hantar hanyalah cawan dan sampah sarap. 





Saya telah pergi semula ke GDEX Melaka Raya, tetapi jawapan yang saya terima sangat menghampakan. Mereka suruh saya berjumpa dengan pengurus mereka di Malim dan saya terus ke lokasi tersebut. Setibanya di sana, pengurusnya kata akan melakukan siasatan dan beri mereka tempoh sehingga Jumaat. 

Saya dengan sabar menunggu dan apabila tiba hari Jumaat, tiada sebarang maklum balas mahupun sebarang panggilan daripada mereka. Saya cuba menghubungi mereka dan sekali lagi menerima jawapan yang menghampakan. Menurut pengurusnya, kalau saya tidak berpuas hati, saya boleh buat laporan polis dan saya buat laporan polis seperti yang disarankan.

Akan tetapi, pihak polis berkata kes itu bukan di bawah bidang kuasa mereka kerana ia bukan jenayah komersial dan saya perlu buat aduan kepada pihak Tribunal Pengguna. 

2 OGOS 2017

Saya telah pergi ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), namun mereka juga menyatakan bahawa kes itu bukan di bawah bidang kuasa mereka juga. Saya disarankan membuat aduan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). SKMM berkata, pihaknya akan menyelesaikan kes itu dalam tempoh 14 hari. 

21 OGOS 2017

Ibarat menunggu bulan jatuh ke riba. Selepas 14 hari sudah berlalu, sekali lagi saya diminta untuk menunggu selama seminggu kerana Ibu Pejabat GDEX belum memberi sebarang maklum balas. Ya Allah, berapa lama lagi saya harus menunggu? 

Bila saya sendiri menghubungi pihak GDEX, mereka menyuruh saya menunggu dan menunggu. Allahu, sakitnya hati saya diperlakukan seperti bola. Apa yang mengejutkan saya ialah, mereka hanya akan membayar tidak lebih dari RM200 sahaja dan mereka menyuruh saya membuat surat invois harga bagi barang tersebut, serta akan memberi maklum balas hari ini juga. 

Tetapi itu semua hanya sekadar kata-kata, tiada apa-apa pun yang berlaku. Saya pula perlu terhegeh-hegeh untuk mendapatkan maklum balas dari mereka. Saya menghubungi mereka sebanyak enam kali. Enam kali panggilan dijawab oleh orang yang berlainan. Tetapi bila saya minta maklum balas mereka mengenai barangan yang hilang, mereka membisu dan mematikan talian saya. 

Warga Facebook yang arif, apa lagi yang perlu saya lakukan? Lens itu adalah punca rezeki saya. Saya harap ada warga Facebook di sini yang boleh membantu saya menyelesaikan masalah ini. Harga lens itu bukan beratus ringgit tetapi beribu ringgit. Saya dah buntu sangat dan harap ada pihak yang boleh membantu. 

Sumber: Zura Salam

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.