Penjual Krim Progesterone siar surat palsu, KKM buat laporan polis

loading...

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan dokumen yang dimuat naik oleh penjual produk Natural Progesterones Cream, kononnya dikeluarkan oleh pihak Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) adalah palsu. 

"Pihak KKM dengan ini mengesahkan bahawa dokumen (surat) tersebut adalah palsu dan menafikan ia dikeluarkan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (sekarang dikenali sebagai Bahagian Regulatori Farmasi Negara atau NPRA). 

"Laporan polis telahpun difailkan," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, semalam. 

Jelas beliau, dokumen yang bertarikh 10 Julai 2017 dengan nombor rujukan 100717/08/357 yang menyatakan maklumat pengkelasan bagi produk Natural Progesterones Cream, adalah palsu kerana individu yang tidak bertanggungjawab itu menggunakan kepala surat palsu. 


Noor Hisham juga menyatakan, semakan pada pangkalan data pengkelasan produk NPRA mendapati bahawa, tiada permohonan diterima oleh NPRA bagi pengkelasan produk Natural Progesterones Cream. 

Selain itu, Progesterone adalah suatu racun yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 juga merupakan bahan yagn tidak dibenarkan dalam formulasi sesuatu produk kosmetik. 

"Pihak KKM memandang serius isu pemalsuan dokumen terutamanya yang melibatkan penggunaan nama agensi kerajaan dan melibatkan keselamatan pengguna.

"Kementerian ini juga memberi amaran kepada penjual dan pengedar produk bahawa memiliki, menjual atau membekal produk tidak berdaftar adalah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. 

Individu yang lelakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. 

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. 

The Reporter sebelum ini pernah memuat naik pandangan beberapa laman pro KKM yang menjelaskan bahawa produk 'calit-calit terus mengandung' mengandungi progesterone adalah berbahaya dan boleh menyebabkan masalah kesihatan. 

Bagaimanapun, telah diugut untuk memadam perkongsian itu oleh pihak berkenaan kononnya telah menyebarkan fitnah terhadap perniagaan mereka.




Malah pihak berkenaan juga telah memetik nama Mawar Karim, isteri kepada pelakon, Fizo Omar, kononnya beliau telah menggunakan krim progesterone untuk mengandung. Mawar melalui Instagramnya telah menafikan dakwaan itu dan meminta pihak yang tidak bertanggungjawab itu tidak menggunakan namanya untuk melariskan produk yang tidak berdaftar itu. 



Orang awam dinasihat menyemak status pendaftaran sesuatu produk farmaseutikal atau status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang www.npra.moh.gov.my atau menghubungan NPRA di talian 03-78835400. 

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.