Ng Pei Ven didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian

loading...

BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG - Wanita berusia 19 tahun yang didakwa memandu melawan arus di lebuh raya sehingga mengakibatkan kemalangan maut pada bulan Mac lalu telah didakwa memandu secara melulu, lapor The Star Online. 

Ng Pei Ven, sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan memandu di bawah pengaruh dadah dan gagal mengawal kenderaannya sehingga menyebabkan kematian. 

Dia kini didakwa di bawah Seksyen 41 Akta yang sama dengan memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian Mohamad Fandi Rosli, 26. 

Ng, yang tidak diwakili peguamnya, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah semasa sebutan kes di mahkamah majistret, sini, semalam. 


Majistret Jamaliah Abd Manap kemudian menetapkan 28 Ogos untuk sebutan semula kes dan memerintah peguamnya hadir. 

Dalam kejadian jam 7.50 pagi 14 Mac lalu berhampiran Permatang Pauh, Ng, dilaporkan memandu keretanya melawan aruh di Lebuhraya Utara-Selatan sebelum bertembung dengan kereta Mohamad Fandi dan menyebabkan mangsa maut serta-merta di tempat kejadian. 


Dalam kejadian itu juga, empat buah kereta yang lain turut rosak teruk akibat tindakan Ng itu. 

Jika sabit kesalahan, Ng menghadapi hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan denda tidak kurang dari RM5,000. Lesen memandu Ng juga telah digantung. 


Selepas kes itu dibacakan, Ng yang memakai topeng muka dan topi keluar meninggalkan mahkamah dengan tergesa-gesa sambil dibimbing oleh ibunya yang mengelakkan anaknya itu didekati pihak media. 

13 Mei lalu, Ng dibebaskan dari tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan ketika kejadian itu selepas ujian saringan air kencingnya didapati negatif. 

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.