Jual Beli Durian Secara Timbang Termasuk Kulit, Ini Jawapan Mufti Wilayah

loading...


Buat penggemar durian sudah pasti seronok apabila tibanya musim durian. Pelbagai jenis durian dijual di pasar-pasar dan tepi jalan membuatkan ramai terliur.

Jika dahulunya, tibanya musim durian ramai peniaga menjual durian secara longgok tetapi kini tidak lagi. Kini ramai penjual menjual durian mengikut timbangan kilogram.

Apabila timbang kilo sudah pasti harganya melambung tinggi. Jika difikirkan secara logik contohnya durian jenis biasa yang dijual RM30 sekilogram. Anggaran untuk sebiji durian bersaiz biasa dalam lingkungan 1.5kg. Secara kasarnya untuk dapatkan sebiji durian biasa yang saiz sederhana anda perlu berbelanja RM45. Agak mahal bukan? Ini durian biasa. Bukannya durian yang terkenal seperti Musang King.

Paling mengejutkan ada penjual menjual durian jenis Musang King dengan harga RM100 sekilogram. Melihat perkara ini, durian bukanlah lagi buah-buahan yang mampu dimakan oleh rakyat biasa. Hanya orang yang kaya sahaja mampu makan durian yang harganya mencecah RM100 sekilo.

Melihat kepada isu durian “timbang kilo” ini, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri pernah menjawab persoalan yang diajukan sebelum ini yang berbunyi seperti di bawah.
JUAL BELI DURIAN SECARA TIMBANG
AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 269 (12 MEI 2016 M / 5 SYAABAN 1437 H)
SOALAN: Assalamualaikum, tuan mufti. Adakah buah durian haram dijual mengikut sukatan kilogram kerana kulitnya lebih banyak dari isi?
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Kaedah menyebut:
الأصل في العقود هو التراضي
Maksudnya: Hukum asal dalam akad ialah keredhaan dua belah pihak.
Dalam jual beli durian selalu yang menjadi masalah ialah apabila dijual beli mengikut timbangan, dan bukannya jenis dan kualiti durian itu. Justeru, berlakulah situasi contohnya isi durian yang mengkal (tidak masak), busuk dan rosak. Di sini, pembeli menjadi tidak redha kerana manfaat yang dibeli tidak diperolehi.

Situasi ini bertepatan dengan sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW menegur penjual kurma yang meletakkan kurma yang kering di atas kurma yang basah untuk mengelabui pelanggan. Sabda Rasulullah SAW:
أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ، مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي
Maksudnya: Apakah engkau sengaja tidak meletakkan yang basah itu diatas takut dilihat orang? Barangsiapa yang menipu maka bukan daripada kalanganku.

Hadis riwayat Imam Muslim (102)
Justeru, digalakkan melakukan akad jual beli durian dengan cara yang lebih jelas. Contohnya, dengan membuka sebahagian durian itu terlebih dahulu diketahui isinya. Cara lain juga seperti yang dilakukan peniaga-peniaga hari ini dengan meletakkan buah di dalam bekas yang boleh dilihat oleh pelanggan. Dengan itu, pembeli dan penjual saling meredhai dan hasil jualan juga diberkati.

Wallahua’lam.

Sumber Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.