Lucu apabila menyedari orang mula berkongsi cerita saya hingga viral

loading...

KUALA LUMPUR: Kecoh netizen apabila foto memaparkan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza menjadi penyampai berita di slot Berita Nasional, RTM, tersebar, sejak minggu lalu.

Ramai terkejut apakah penyanyi bersuara lunak itu sudah beralih minat dengan menceburi dunia penyiaran apabila menjadi pembaca berita di stesen televisyen (TV) tertua negara itu.

Usah terpedaya kerana hakikatnya, wanita yang disangka penyanyi Segala Perasaan itu adalah wanita kelahiran Terengganu, Normazalina Mohd Nor, 33, yang memiliki wajah seiras Siti Nurhaliza.
Tidak menyangka dirinya mencuri perhatian netizen, Normazalina atau mesra disapa Lina, mengaku malu apabila dibandingkan dengan penyanyi tersohor itu.

"Lucu apabila menyedari orang mula berkongsi cerita saya hingga viral. Siapalah saya kalau hendak dibandingkan dengan Siti. Dia lebih cantik dan saya kagum dengan kehebatan dan pencapaiannya sebagai insan serta anak seni.

"Secara jujur, saya malu apabila terus dibandingkan dengan Siti. Jika diikutkan, wajah kami tidak sama. Mungkin ketika gambar dirakam saya saya membaca berita, kelebihan teknik solekan membuatkan saya kelihatan seperti Siti.

"Memang solekan memainkan peranan kerana saya mengambil inspirasi tatarias Siti. Jadi, dari situ ramai yang membuat kesimpulan kami seiras," katanya kepada BH Online.

Berkongsi latar belakang dirinya, Lina yang masih solo memaklumkan, dia menjadi penyampai berita sambilan di RTM sejak 2013. Ketika ini, Lina bekerja sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat di Parlimen.

Sejak tersebar foto dirinya yang dikatakan mirip Siti, Lina berbangga kehadirannya sebagai pembaca berita di RTM mula disedari ramai.

"Saya bangga kerana saya memang peminat Siti. Apatah lagi, Siti juga produk kelahiran RTM menerusi Bintang HMI 1995. Setiap perkembangannya, saya ikuti. Laman Instagram Siti juga tanpa jemu saya lihat setiap hari," katanya.

Lina terharu apabila diberitahu ada penonton menantikan dirinya muncul di slot Berita Nasional jam 8 malam bagi melihat 'Siti' membaca berita.

"Tak saya nafikan, apabila semua ini berlaku, ada perhatian lebih diberi. Saya dapat tahu ada penonton yang tertunggu-tunggu giliran saya membaca berita. Rating program berita yang saya kendalikan juga semakin baik," katanya.

Biarpun meminati Siti, Lina belum berkesempatan bertemu empat mata dengan idolanya itu.
"Kalau ada peluang bertemunya, saya tidak menolak. Dulu, sebelum menjadi penyampai berita, saya terlebih dulu bertugas sebagai wartawan penyiaran.

"Ketika itu, ada rakan wartawan dari meja hiburan mengajak saya pergi ke acara yang dihadiri Siti. Tetapi, saya tidak berkesempatan kerana terikat dengan tugasan. Dalam hati, segan mahu bertemu Siti kerana saya tidak rasa wajah kami mempunyai persamaan," kata lulusan bidang sains alam sekitar di Universiti Putra Malaysia (UPM) ini.

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.