Royalti serah memorandum

loading...
KOTA BHARU – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Royalti (R) menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sebagai tanda sokongan terhadap pindaan sokongan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355.

Presiden Pertubuhan R, Nazri Deraman berkata, pihaknya menyokong penuh segala usaha ke arah mengukuhkan sistem perundangan syariah di negara ini.

Menurutnya, ia kerana usaha tersebut merupakan salah satu langkah wajib menjaga perihal kepentingan Muslim dan mendaulatkan Islam di negara ini.

“Kami harap semua pihak tidak menjadikan isu ini sebagai isu permainan politik, perkauman dan sebagai anasir-anasir yang menggugat kehamornian masyarakat, setelah ia diketengahkan sebagai suatu RUU persendirian, diharapkan perbahasan sihat berlaku dengan baik di Parlimen.

“Segala permainan politik dalam hal-hal sebegini akan membawa akibat buruk kepada pelbagai kelompok rakyat, bagi pihak R kita berpendirian untuk menyokong sepenuhnya bil ini dibuat di atas dasar menginsafi bahawa cadangan pindaan undang-undang tersebut akan membawa kepada pembaikan pengamalan undang-undang Islam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, beliau hadir ke Kompleks Kota Darulnaim bagi menyerahkan memorandum tersebut kepada Ahmad.

Tambahnya, pendirian (menyokong) ini juga dibuat dengan kesedaran bahawa usaha tersebut amat bertepatan dengan Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dan mempunyai kedudukannya yang tinggi.

“Perkara ini hanya untuk Muslim sahaja, tidak melibatkan rakyat negara ini yang beragama lain.

“R menyeru semua umat Islam untuk bersepakat ke arah memartabatkan Islam di negara ini dan menolak segala usaha untuk menggugat kedudukan Islam oleh mana-mana pihak sekalipun.

Beliau berkata, Islam sepatutnya dijadikan kepentingan yang paling utama menjangkaui segala kepentingan lain, termasuklah kepentingan kepartian individu atau mana-mana kumpulan.

“Kita berharap apabila lulusnya pindaan Akta 355 ini, ia akan memberikan ruang yang lebih luas kepada pihak Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang hudud di negeri ini,” katanya.

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.