Olahragawan maut nahas

loading...
MARANG - Murid tahun enam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Rawai maut selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Alor Limbat di Kampung Rawai di sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian berlaku lebih kurang jam 5.50 petang itu, mangsa, Muhammad Hafiz Aiman Kamaruddin, 12, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Mangsa dipercayai terlibat dalam kemalangan tersebut apabila dikatakan gagal untuk memotong sebuah kenderaan ingin masuk ke kanan jalan yang berada di hadapannya ketika dalam perjalanan menuju ke Alor Limbat.

Muhammad Hafiz Aiman yang menunggang motosikal Honda EX5 terjatuh dari motosikal dan berada di laluan bertentangan apabila dipercayai terlanggar bahagian belakang kereta jenis Perodua Viva di hadapannya itu.

Nasib tidak menyebelahi mangsa yang menetap di Pak Madah itu apabila dalam masa sama sebuah lori dari arah bertentangan dikatakan gagal untuk mengelak mangsa lalu merempuh mangsa dan motosikal ditungganginya.

Mangsa yang meninggal dunia di lokasi itu kemudiannya dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat namun bedah siasat tidak dijalankan apabila pihak keluarga enggan memberikan kebenaran.

Dalam pada itu, kehilangan mangsa bukan hanya dirasai ahli keluarga tetapi rakan-rakannya dan warga pendidik di SK Simpang Rawai kerana kecemerlangannya dalam bidang sukan dan sering mengharumkan nama sekolah berkenaan.

Mangsa merupakan Olahragawan Balapan dan Padang Kejohanan Sukan Majlis Sukan-sukan Daerah (MSSD) Marang bagi kategori peringkat sekolah rendah dalam kejohanan sukan peringkat daerah berkenaan pada tahun ini.

Malah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan memuat naik gambar Allahyarham ketika menerima penghargaan di laman sosial pada malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan (DSP) Mohd Suhaimi Ali mengesahkan menerima laporan kemalangan dan kes masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Lagi Yang Viral

Powered by Blogger.